‘Perkataan jakun tiada kena mengena dengan Orang Asli’

DIDAKWA menghina kaum Orang Asli apabila menggunakan perkataan jakun, pelakon Izara Aishah tampil mempertahankan diri dengan menegaskan terma tersebut digunakan bagi menunjukkan eskpresi terhadap sesuatu perkara.

Sedar menerima kecaman hebat, Izara atau Izara Aishah Hisham, 31, berkata dia bersedia untuk tidak menggunakan lagi perkataan itu walaupun telah diguna pakai oleh ramai orang sebelum ini.

“Ayat digunakan tiada kena mengena (kutuk Orang Asli). Perkataan tersebut merupakan ekspresi.

Beritahu saya sekiranya tidak boleh diguna pakai lagi kerana selama ini masih ramai lagi orang yang menggunakan perkataan tersebut untuk ekspresi dalam memberikan pandangan.

“Ada orang kata jakun bererti seronok dan bagi saya kedua-duanya sama maksud. Ramai yang tidak tahu, jadi sila kongsi,” katanya menerusi aplikasi X baru-baru ini.

TANGKAP laya penjelasan Izara Aishah mengenai penggunaan perkataan jakun – X

Perkara tersebut diluahkan Izara selepas seorang individu menganggapnya mengutuk  kaum Orang Asli kerana menggunakan perkataan jakun.

Bagaimanapun, ada segelintir individu berpihak kepada pelakon drama Cikgu Gangster itu dengan memaklumkan perkataan tersebut digunakan secara meluas sebelum ini tanpa merujuk kepada suku kaum tertentu

“Saya orang Johor elok sahaja dengan orang kampung cakap jakun. Bila Izara guna, kena kecam pula.

Jakun kalau di Pekan, Pahang kami guna apabila kita tidak pernah nampak atau pertama kali melihat sesuatu benda,” kata netizen yang menyokongnya.

Dalam masa sama, ibu kepada dua orang anak itu turut berkongsi satu tangkap layar Kamus Dewan Bahasa mengenai perkataan jakun yang membawa maksud hairan atau pelik.

Terdahulu, perbalahan tersebut bermula apabila Izara lantang menyatakan tujuan kedatangan warga Palestin ke Malaysia hanya untuk dirawat.

Tidak hanya itu, Izara didakwa bersikap rasis terhadap orang Rohingya susulan ciapannya yang meminta tidak membandingkan warga Rohingya dan Palestin.

Dalam perbualan tersebut, Izara menggunakan perkataan jakun sehingga mengundang kecaman hebat netizen. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok