HARI ini telah masuk masuk hari kelima Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) 2024 yang berlangsung pada 29 Julai sehingga 4 Ogos ini.
Sepanjang lima hari acara berlangsung, ramai selebriti terkenal tanah air dilihat duduk di barisan hadapan memenuhi jemputan pereka fesyen kesayangan mereka.
Banyak gaya menarik, unik dan penuh berwarna warni dapat dilihat dalam acara yang berlangsung di pekarangan Menara Berkembar Petronas KLCC itu.
HibGlam menyenaraikan lima gaya selebriti yang mencuri tumpuan di KLFW kali ini.
Ummi Nazeera
Berhijab tidak menghalang pelakon hebat ini untuk tampil bergaya penuh bertenaga. Jika selebriti berhijab lain dilihat lebih selesa memilih gaya selamat, Ummi pula gemar tampil berbeza. Lihat sahaja sut biru muda yang digayakan Ummi daripada Kit Woo ini. Sungguh stylish!
Amelia Henderson
Tampil elegan dan polos dalam balutan busana rekaan Nurita Harith, namun aura aktres dan hos jelita Amelia Henderson tetap menyerlah. Kata Amelia kali ini dia bermain dengan potongan rambut ‘bang’ dan mewarnakannya kembali kepada hitam. Sudah bosan dengan rambut berwarna katanya.
Scha Al Yahya
Kalau sudah namanya ikon fesyen, gaya seringkas apa pun tetap terserlah sisi seorang ‘fashionista’. Scha hadir ke pementasan koleksi Nurita Harith memakai gaun hitam daripada pereka yang sama. Kali ini Scha bermain dengan gaya rambutnya yang didandan kerinting sekali gus menambah elemen drama dalam gayanya.
Sherry Al Hadad
Sherry Al Hadad selebriti bertubuh ‘plus size’ yang bijak dalam bergaya. Sherry membuktikan saiz tubuh bukan penghalang untuk tampil menawan. Lihat sahaja gayanya ketika menghadiri pementasan Syomir Izwa Gupta. Sherry kelihatan bergaya dan bertenaga dalam balutan gaun ala kimono daripada pereka sama.
Siti Saleha
Tampil berlainan, aktres cantik Siti Saleha hadir ke pementasan Melium Group dengan menggayakan rambut palsu berwarna perang muda. Saleha memakai pakaian daripada jenama antarabangsa MCM yang merupakan salah satu jenama di bawah Melium Group.
Masih berbaki dua hari lagi sebelum KLFW menutup tirainya tahun ini. Kami pasti banyak lagi gaya menarik yang akan muncul nanti. – HIBGLAM