Belum Mulai satukan Insomniacks, Nabila TAqiyyah

BAND terkenal Insomniacks kini bekerjasama dengan penyanyi dari Seberang, Nabila Taqiyyah dalam penghasilan single terbaharu mereka bertajuk Belum Mulai terbitan Universal Music Indonesia dan Universal Music Malaysia.

Menariknya, kolaborasi tersebut menyaksikan Nabila Taqiyyah hadir dengan sisi berbeza sebagai penyanyi melalui lagu rock bersama sebuah band.

Bagi Insomniacks, lagu Belum Mulai merupakan lagu bahasa Indonesia pertama yang mereka keluarkan.

Rasanya sangat senang dan terhormat. Nabila adalah orang yang menyenangkan untuk diajak berkolaborasi kerana profesionalisme tinggi dirinya semasa rakaman dan pembikinan video muzik.

“Dia sangat berbakat dan saat pertama kali mendengar suaranya untuk lagu ini, kami yakin dia menjadi elemen penting dalam lagu ini. Syukur dia bersedia untuk terlibat,” ujar anggota Insomniacks.

INSOMNIACKS berbesar hati dapat bekerjasama dengan Nabila.

Gembira dengan projek muzik dua negara kali ini, Nabila berharap kehadiran Belum Mulai diterima banyak khalayak.

Pastinya sangat gembira kerana ini adalah kolaborasi pertama saya dan lebih istimewa lagi bersama kumpulan dari Malaysia. Seluruh proses produksi berjalan lancar dan menyenangkan. Saya harap semua pendengar dapat menikmati lagu ini seperti kami menikmati seluruh proses pembuatannya,” kata Nabila.

Untuk Belum Mulai, Nabila dan Insomniacks bekerjasama dengan Clara Riva dan S/EEK sebagai pencipta lagu yang terlebih dahulu bekerjasama dengan ramai penyanyi tempatan untuk mencipta lagu-lagu hit.

Lagu Belum Mulai menceritakan tentang seseorang yang harus merelakan cintanya pergi walaupun cinta tersebut belum bermula.

Lagu berkenaan menggambarkan perasaan seseorang yang harus melepaskan orang yang disayangi kerana pelbagai sebab walaupun kisah cinta mereka belum bermula.

Dari segi susunan muzik, Belum Mulai diawali irama pop balada yang sederhana dengan gitar akustik sebagai elemen utama. Dari tengah hingga akhir lagu, unsur rock dengan distorsi ditambah untuk menandakan elemen band masih ada dalam susunan lagu.

Video muzik Belum Mulai juga dibikin dengan sederhana tetapi nyaman secara visual. Mengambil latar belakang kawasan lapang dengan pemandangan pokok-pokok yang mengelilinginya, ia pasti menyejukkan mata.

Bintang kelahiran Indonesian Idol musim kedua, Nabila Taqiyyah sebelum ini popular dengan lagu Menghargai Kata Rindu.

Menggunakan khidmat Kolmar Films dengan Ido Aruan sebagai pengarahnya, penggambaran Belum Mulai dilakukan di Yogyakarta.

Pembikinan video muzik di Yogyakarta sangat mengesankan kerana itu pertama kali kami dapat datang ke sana dan lebih istimewa lagi kerana bersama Nabila,” ujar Insomniacks.

Insomniacks dan Nabila Taqiyyah berharap lagu ini dapat dinikmati oleh banyak pengemar muzik di Malaysia mahupun di Indonesia. Bagi mereka yang merasakan hal yang sama dari cerita lagunya, semoga ia dapat menjadi inspirasi dalam mencari jalan terbaik.

Buat kamu yang dapat mengaitkan diri dengan lagu ini, semoga material ini menjadi ‘soundstrack’ (runut bunyi ) yang menghiasi kehidupan kamu.

“Semoga semua suka dengan lagunya,” harap Nabila.

Single kolaborasi Nabila Taqiyyah dengan Insomniacks sudah tersedia di semua platform muzik digital.
Video muziknya juga telah ditayangkan menerusi saluran YouTube Insomniacks. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok