Bukan kongkong, suami cuma bimbing- Nad Zainal

PELAKON Nad Zainal nafi dikongkong suaminya, Ungku Ismail Aziz sejak mendirikan rumah tangga lebih setahun lalu.

Nad atau nama sebenarnya, Farah Nadia Zainal Abidin, 34, berkata, situasi sebenar tidak seperti didakwa segelintir pihak sebaliknya lelaki itu banyak membimbingnya dalam menentukan hala tuju hidup.

“Tak adalah mengongkong. Kalau kongkong kita akan rasa tertekan dan terbeban tetapi ini biasa sahaja, normal macam pasangan suami isteri lain.

Kalau pasal watak memang kena jaga. Walaupun bertudung saya buktikan masih boleh bawa banyak watak, misalnya peranan orang gila tetapi tetap pastikan aurat terpelihara.

“Itu antara peringatan suami. Bagi saya, dia sekadar mengingatkan diri ini mengenai hal yang sepatutnya,” katanya kepada HibGlam.

Pelakon drama Bukan Bidadari itu berkata, dia selesa dengan cara sebegitu kerana menganggap Ungku Ismail, 38, mampu membentuk dirinya menjadi wanita lebih bertanggungjawab.

Saya juga suka kalau ada orang melentur saya. Tak bermakna kalau sudah berkahwin tak boleh berlakon.

“Banyak perubahan berlaku, saya semakin tenang berbanding dahulu. Saya perlukan orang yang faham situasi saya sebagai ibu dan pelakon. Dia (suami) adalah individu yang memahami kerana dia juga seorang pelakon.

Jadi mudah untuk kami mencorak kehidupan. Sebelum ini pun semua benda saya nak buat, tergesa-gesa hingga akhirnya saya jadi seorang yang pemarah akibat stres.

“Tetapi sejak ada suami, dia banyak ajar saya perkara yang saya tak sedar,” katanya ketika ditemui di Bazar Hujung Minggu kelolaan Hotel Park Inn by Radisson Putrajaya, hari ini.

Pada acara yang disertai lebih 50 peniaga, pasangan terbabit mempromosikan tudung aktres itu dengan motif rekaan sentuhan suaminya sendiri.

Nad berkata, dia dan Ungku Ismail aktif mengukuhkan jenama Nadi Kesuma sejak setahun lalu dengan menyertai pelbagai karnival jualan sehingga ke Brunei dan Singapura.

“Sebenarnya, suami saya ini memang suka berniaga dan pada masa sama dia memanfaatkan kelebihan serta ilmu dalam beberapa bidang termasuk dalam aspek pengurusan kewangan keluarga.

Ungku Ismail juga boleh membina aplikasi permainan maya, mencipta laman sesawang berbentuk pendidikan yang dinamakan Pintar Congak.

“Program ini asalnya dicipta untuk memudahkan anak kami lebih cepat memahami subjek matematik.

“Setelah mendapat banyak pertanyaan daripada pelbagai pihak, kini kami buka program tersebut kepada umum,” katanya lagi.

Pasangan terbabit dikurniakan seorang cahaya mata, Ungku Indra Puteh Al Majid yang kini berusia sembilan bulan.

Menerusi perkahwinan terdahulu, Nad dikurniakan dua anak iaitu Fahad Ibrahim, 8, dan Budi Kalsom, 4. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok