“CINTA ini akan sentiasa untuk awak.”
Demikian antara bait-bait ucapan istimewa yang dizahirkan pelakon cantik Mimi Lana buat Syafiq Kyle bersempena ulang- tahun kelahiran yang ke-32 aktor itu, semalam.
Mimi Lana atau nama sebenarnya, Mimi Rozaiana Zainal Abidin, 29, berkata, perasaan cinta terhadap lelaki yang sentiasa berada di sisinya dalam apa jua situasi itu tidak pernah berubah biarpun jodoh antara mereka belum kesampaian.
Melihat kembali galeri foto saya pada hari istimewa awak sedikit melukakan saya. Masa telah berlalu, tetapi anda sentiasa menjadi tempat saya bersandar pada saat susah dan senang.
“Cinta ini akan sentiasa untuk awak walaupun takdir kita masih belum pasti. Selamat hari lahir bintang saya dan selamanya kembar saya,” katanya menerusi hantaran Instagram.
Menerusi entri tersebut, pelakon filem Pusaka itu memuatnaik beberapa gambar serta video mereka berdua bersama kapsyen manis yang menyentuh perasaan.
Perkongsian Mimi Lana meraih perhatian pengikutnya apabila rata-rata mendoakan mereka kembali bertemu jodoh selepas membatalkan pernikahan pada Ogos 2023 lalu.
Semoga Allah jodohkan awak berdua okey. Tolonglah,” tulis seorang netizen.
“Allah sebaik-baik perancang. Ada jodoh pasti tak ke mana,” kata seorang lagi pemilik akaun laman sosial.
Ikhlas dari hati mendoakan jodoh kalian, moga dapat disatukan secara halal dan bercinta hingga ke syurga insya-Allah. Amin,” ujar peminat lain.
Mimi dan Syafiq sebelum ini pernah menjalin hubungan cinta selama beberapa tahun, namun impian menjadi suami isteri tidak kesampaian apabila mereka membatalkan majlis pernikahan pada 18 Ogos tahun lalu.
Bagaimanapun, pasangan terbabit kini masih menjalin hubungan baik, selain tetap bergandingan menjayakan beberapa projek komersil. – HIBGLAM