Keadilan buat jerung, hidupan air paling disalah erti

Selain buaya dan barangkali dinosaur, naratif berkisarkan kengerian ganasnya ikan jerung antara perkara paling klise yang sering didokumentasikan dalam bentuk filem. 

Tanggapan penulis terhadap pernyataan tersebut bagaimanapun sedikit tersasar selepas menonton filem terbaharu tentang keganasan ikan jerung berjudul Under Paris garapan pengarah Xavier Gens.

Apa yang positifnya tentang Under Paris adalah efek bunyi, kesan khas dan sinematografi yang sangat mempesona. 

Sepuluh minit terawal filem, fokus audiens terus dipaku dengan momen ‘bahagia’ sekumpulan saintis marin di tengah lautan yang secara tiba-tiba dipatahkan serangan jerung bernama Lilith. 

Niat mereka bukan cuba untuk memberi ancaman kepada haiwan yang sering disalah erti tersebut, namun entah bagaimana, ketua saintis bernama Sophia seorang sahaja yang terselamat daripada serangan berdarah itu. 

ANTARA babak mendebarkan dalam Under Paris yang menderas adrenalin penonton.

Enggan terlalu membocorkan ‘spoiler’, Lilith tiba-tiba membesar secara mendadak dan bertindak agresif dan semenjak itu, kelibatnya tidak lagi menjadi tumpuan hidup Sophia sehinggalah berita tentang Lilith berada di City of Light, Paris sampai ke pengetahuannya. 

Klise, teknikal

Secara peribadi, buat penggemar filem Jaws atau jerung (terutama garapan Steven Spielberg), Under Paris umpama memberi ‘homage’ terhadap keunggulan naskhah sutraradara hebat tersebut. 

Seperti apa dinukilkan pada perenggan terdahulu, Under Paris ‘kuat’ dan berkualiti adalah disebabkan aspek teknikalnya. 

Hal ini barangkali kerana orang Perancis kalau soal teknikal memang luar kotak keberhasilan mereka dan itu ditonjolkan dalam filem kali ini yang bukan satu kegagalan berbanding yang paling terkini, filem Meg misalnya yang sedikit ‘flop’ berbanding filem jerung lain. 

Under Paris tidak terlalu menonjolkan fizikal jerung, namun lebih memberikan rasa atau emosi yang membuatkan jiwa audiens meremang, sekali gus menjadikan percaturan Xavier sebagai pengarah sangat berbaloi. 

Kelainan

Sebilangan penonton barangkali berasakan bahawa kelibat jerung dalam filem kali ini sedikit minimal yang penulis sendiri fikirkan, itu mungkin pendekatan pengarah untuk tidak membuatkan penonton kebosanan.

Menjadikan fokal cerita jerung ganas menyerang ‘kota cinta’ Paris adalah satu perkara yang bijak dan mungkin sesuatu baharu dalam dunia sinematik. Mungkin juga, sesuatu yang tidak pernah difilemkan sebelum ini. 

Apa berlaku di penghujung cerita adalah perkara yang membuatkan audiens sama ada menyukai atau membenci karya ini. Itu tergantung kepada keselesaan masing-masing. 

WATAK Sophia (kiri) yang merupakan tunjang utama memberi keadilan buat jerung betina bernama Lilith.

Buat penulis, idea filem ini sangat segar, cumanya, apa lagi yang boleh diinovasikan tentang keganasan haiwan lautan paling disalah erti? 

Dari satu sudut, apa keberhasilan yang boleh digembar-gemburkan dalam Under Paris, namun ada juga melihat menerusi sudut pandang lain. 

Akhirnya, manusia dan haiwan seperti jerung itu sebenarnya wujud bersama atau ‘co-exist’ dalam keunikan situasi yang tersendiri. 

Memulihara hidupan yang kian pupus itu sama seperti menjaga keamanan manusia yang semakin hari semakin tertindas keberadaannya.  – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok