Sedekad tak berlakon, Zahida Rafik mahu ‘comeback’

SELEPAS hampir 10 tahun ‘berehat’ daripada dunia lakonan, pelakon Zahida Rafik mengakui rindu untuk kembali ke set penggambaran.

Menurut Zahida atau nama sebenarnya Zahidah Mohamed Rafik, 49, meskipun sudah lama ‘pencen’ sebagai pelakon namun sesekali terbit rasa rindu untuk berlakon.

“Jika diikutkan saya sudah lama pencen. Tapi tawaran berlakon sentiasa ada. Kadang-kadang rasa rindu untuk berlakon itu datang tetapi saya pula yang sibuk.

Saya suka melancong dan menikmati alam semula jadi. Jadi, apabila ada tawaran, saya pula tidak boleh bagi komitmen kerana tiada masa.

“Bila saya ada masa lapang tiada pula orang bagi tawaran, begitulah,” ujarnya.

Tambah Zahida, perasaan rindu itu semakin tebal apabila melihat ramai rakan seangkatannya masih aktif berlakon.

Sungguhpun begitu, andai dia mahu melakukan kemunculan semula, Zahida akan memilih karya yang pendek untuk mendapatkan kembali rentak sebagai seorang pelakon.

Lepas lihat rakan-rakan berlakon perasaan rindu itu muncul. Tapi selepas lama tidak berlakon, saya takut untuk ambil naskhah yang episodnya panjang.

“Saya lebih selesa memilih karya yang pendek apabila buat ‘comeback’ nanti,” tuturnya.

Ditebak apakah watak yang diidamkan sekiranya ditawarkan berlakon, Zahida secara ringkas menjawab dia mahukan sesuatu yang mencabar dan lasak.

Zaman saya berlakon dulu, semua pengarah yang ada adalah ternama dan tidak ramai seperti hari ini. Dulu agak terhad (pengarah tidak ramai) tetapi semua naskhah yang dihasilkan menarik.

“Jadi, apabila mereka beri tawaran kita teruja untuk berlakon. Baru-baru ini, saya dapat tawaran episod panjang tetapi diganti rakan saya. Tawaran drama itu daripada penerbit David Teo,” kata Zahida yang ditemui pada Malam Bersamamu Rafah 2024 di Glamhall Damansara, semalam.

Dalam majlis tersebut Tabung Bersamamu Rafah berjaya mendapat kutipan sebanyak RM300,000. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok