Nabil, Alya profesional kerja, tolak cinta lokasi 

Enggan terpalit sebarang kontroversi yang boleh menjatuhkan karier seni, pelakon muda Nabil Aqil dan Alya Iman menolak untuk terjerumus dalam cinta lokasi.

Menurut Alya atau nama sebenarnya, Nur Alya Iman Azmil, 23, sebagai pelakon sepenuh masa, dia tidak akan melakukan sesuatu perkara yang akan merosakkan punca rezekinya.

“Saya memang tolak cinta lokasi kerana lakonan adalah minat dan merupakan satu-satunya kerjaya saya.

“Bagi saya pelakon yang terlibat dalam cinta lokasi adalah tidak profesional kerana menggunakan emosi sebenar untuk bekerja,” kata Alya.

Pendapat Alya turut dipersetujui oleh sahabatnya, pelakon Nabil Aqil yang bergandingan sebagai pelakon utama dalam drama bersiri Anggun Mikayla terbitan laman penstriman, Viu.

“Contoh dalam drama ini, saya dan Alya adalah sahabat dan rakan sekerja. Kami bersahabat baik sejak tiga tahun lalu selepas terlibat dalam drama Ku Punya Hati.

“Tidak mungkin saya akan bercinta di lokasi dengan rakan sekerja saya sendiri. Kalau boleh saya mahu kekal profesional sebab saya percaya kami berkerjasama dalam banyak lagi projek yang akan datang.

“Jika saya buat hal dengan rakan sendiri, susahlah untuk bekerja. Oleh demikian, letakkan sempadan bila berada di set penggambaran,” kata Nabil.

Sungguhpun begitu, Nabil atau nama sebenarnya, Muhhammad Nabil Aqil Muhammad Salehuddin, 26, tidak menolak andai bertemu jodoh dengan mana-mana wanita atau pelakon di set penggambaran.

Jelas Nabil, cinta lokasi dan ‘bercinta’  dengan wanita yang bakal menjadi isteri adalah sesuatu yang berbeza.

“Sebenarnya, kalau kita jumpa orang yang diminati, memang akan terjatuh cinta. Ramai pelakon bertemu jodoh di set penggambaran.

“Bagi saya kalau dua-dua suka sama suka dan masih solo, tiada masalah untuk meneruskan perhubungan itu. Mungkin itulah bakal isteri saya.

“Tetapi kalau sekadar cinta lokasi untuk tempoh masa singkat lebih baik elakkan,” tutur Nabil.

Anggun Mikayla

Bercerita lanjut tentang drama terbaharu  lakonan mereka iaitu Anggun Mikayla yang diadaptasi daripada novel nukilan Liza Nur, baik Nabil mahupun Alya, mereka bersyukur dapat bekerja dengan sahabat baik.

Keserasian atas tiket persahabatan memudahkan untuk kedua berlakon terutama adegan romantis.

“Seronok bekerja dengan rakan sendiri sebab saya sudah faham karakter Nabil. Kami memang rapat dan selalu melepak bersama.

“Setiap babak kami hanya berbincang sedikit dan terus berlakon. Perasaan dan mood semua memang mudah kerana keserasian itu sudah ada tanpa perlu dibuat-buat,” kata Alya yang membawa watak Mikayla.

Bagaimanapun, Alya tetap berasa gementar kerana ini kali pertama dia menjayakan projek bersama Viu.

“Sebagai pelakon baharu saya mengaku agak gementar bila berlakon dalam drama terbitan Viu. Cuma saya berasa lega sedikit kerana saya telah bekerja sebanyak empat drama bersama pengarahnya, Eyra Rahman.

“Sedikit sebanyak saya sudah tahu cara kerja pengarah dan sudah selesa dengannya,” ujar Alya tentang drama sebanyak 13 episod itu.

Dalam pada itu, Nabil yang memegang watak sebagai Idriz berharap drama Anggun Mikayla akan mendapat sambutan daripada peminat.

“Jalan cerita drama ini sangat dekat dengan kehidupan masyarakat kita. Harap audiens ambil pengajaran,” tutur Nabil.

Drama Anggun Mikayla telah mula ditayangkan di aplikasi Viu bermula 25 April lalu pada setiap Khamis sehingga Sabtu.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok