TERKURUNG akibat jangkitan Covid-19, pelakon Fasha Sandha meluahkan perasaan terkilan dengan sikap sesetengah individu terdekat yang tidak ambil peduli keadaan dirinya sepanjang menjalani kuarantin pada 2 Syawal lalu.
Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan, 40, mengakui sokongan moral insan sekeliling sangat diperlukan ketika berada pada titik terendah yang membuatkan emosinya terganggu.
“Sejujurnya untuk menunjukkan sayang dan ambil berat ini tidak semestinya kena bagi barang atau kebendaan, cukup sekadar telefon dan mesej untuk bertanya khabar serta ambil tahu masa perkara itu baru terjadi.
Bukanlah lepas beberapa hari ‘text’ tanya khabar. Dalam masa 24 jam dah kena cari, dah kena ambil tahu. Jangan bagi alasan takut mengganggu, itu tak masuk dek akal, banyak cara nak berhubung.
“Tak hubungi saya, boleh saja berhubung orang sekeliling saya. Masa tu sangat perlukan sokongan moral, terutama ketika betul-betul ‘down’ dan emosi Khamis lalu,” katanya dalam hantaran Instagram.
Menerusi perkongsian sama, Fasha turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada mereka yang prihatin apabila bertanya khabar selain memastikan dia dan keluarga dalam keadaan baik sepanjang mengharungi dugaan.
Isteri kepada pelakon Aidil Aziz itu mengakui menerusi dugaan itu dia mula nampak mereka yang setia berada di sisinya ketika berdepan situasi getir.
“Satu panggilan, satu minit tidak akan membuat apa-apa perbezaan pun. Tiada alasan, kita faham tengah syok beraya sampai terlupa nak ambil tahu dan buat apa yang patut buat.
Tak apa di sini kita belajar, siapa ada siapa tiada, siapa lambat, masa kita ditimpa masalah. Ini hikmah Allah tunjuk jelas.
“Bagi saya, kasih sayang kena tunjuk masa orang itu masih hidup. Kalau tak ada, tiada gunanya. Setuju?” ujarnya.
Jumaat minggu lalu bintang filem Anak Perjanjian Syaitan 2 itu mendedahkan dirinya dijangkiti virus Covid-19 ketika menyambut Syawal di kampung suaminya di Rembau Negeri Sembilan.
Selepas berasa tidak sihat selain mempunyai simptom bersin tanpa henti, Fasha yang melakukan ujian Covid-19 di klinik disahkan positif, sekali gus mengakibatkan rancangan beraya bersama keluarga di Perlis dibatalkan.
Susulan itu, dia bersama keluarga menjalani kuarantin di rumah sehingga tempoh ‘berkurung’ mereka sudah berakhir kelmarin. – HIBGLAM