KUALITI dan komitmen Fasha Sandha dalam lakonan memang tak perlu diperdebatkan lagi.
Apa sahaja watak, berjaya dilakonkan dengan cemerlang dan begitu jua dilakukannya untuk sebuah drama terbaharunya bersama Datuk Jalaluddin Hassan.
Fasha berkata, selama 20 tahun bergelar anak seni, drama tersebut merupakan naskhah pertama dia memukul Jalaluddin untuk menjayakan sebuah babak.
“Selama 20 tahun kerja bersama, lebih 25 kali jadi bapa dan anak dalam drama bersiri.
“Ini kali pertama, tidak sengaja mengasari Datuk Jalal. Ampunkan saya papa,” katanya yang turut memuat naik video pendek memaparkan momen tersebut.
Perkongsian tersebut meraih pujian termasuk netizen turut berasa sedih selepas melihat Fasha menangis dalam babak itu.
“Fasha menangis, kami yang tengok pun rasa sedih. Hebat betul lakonan.
“Tak apalah pukul sedikit tapi hasil luar biasa. Tak sabar nak tengok drama ini,” komen netizen.
