Tak boikot artis bermasalah, itu kerja stesen televisyen – Rosyam Nor

MENGAMBIL pendekatan berkecuali dalam isu menyenarai hitam artis bermasalah, penerbit Datuk Rosyam Nor menyerahkan kepada stesen televisyen untuk menentukan barisan pelakon bagi sesebuah drama.

Kata pemilik nama sebenar Mohamed Noor Shamsuddin, 57, status sebagai pemilik rumah produksi tidak memberinya hak untuk memboikot artis yang terpalit kontroversi, apatah lagi menyekat rezeki orang lain.

Ini rezeki masing-masing. Saya tiada kuasa berbuat demikian. Siapa saya untuk menghukum. Semua berbalik kepada kehendak stesen televisyen untuk memilih pelakon yang dikehendaki.

“Pihak terbabit yang pertimbangkan sama ada wajar artis berkenaan digam atau sebaliknya. Selaku penerbit drama saya akur mengikut mana-mana keputusan.

Kebiasaannya produser mencadangkan nama pelakon bersesuaian bagi memegang watak dalam sesebuah naskhah,” katanya pada majlis pembukaan ST Rosyam Mart Semenyih, baru-baru ini.

Pemilik Suhan Movies & Trading itu berkata, pihaknya juga sedia membuka peluang kerja terhadap mana-mana selebriti yang terpalit kontroversi apabila situasi kembali reda.

Tiada sesiapa pun mahu perkara buruk berlaku dalam hidup. Sebagai manusia biasa, kita pun ada khilaf. Kalau mereka yang didakwa bermasalah itu sudah perbetulkan kesilapan, tiada masalah kita ambil semula berlakon selepas isu reda.

“Tak kira membabitkan hal disiplin atau sebagainya, jika sudah ada kesedaran kita boleh sahaja buka peluang lain pada masa akan datang,” ujarnya.

Mengenai pelancaran cawangan keenam pasar raya besar itu, aktor terbabit berharap pembukaan ST Rosyam Mart seluas 37,000 kaki persegi dapat memenuhi keperluan masyarakat setempat.

“Cawangan ini adalah premis kedua terbesar selepas di Shah Alam yang diyakini mampu memberi nilai tambah terhadap kualiti kehidupan penduduk termasuk peniaga apabila dibuka 24 jam.

“Sebagai tanda penghargaan, kami menawarkan sebanyak 5,000 ekor ayam serta enam tan ikan siakap yang dijual pada harga 88 sen seekor bagi pada 26 dan 27 Mac.

“Pesta jualan langsung yang menawarkan diskaun untuk barangan lain itu diteruskan selama enam hari enam malam sehingga 31 Mac depan,” ujarnya.

Menurut Rosyam, sebagai usaha membantu selebriti menambahkan pendapatan termasuk artis, penggiat industri seni, ahli sukan dan pempengaruh media sosial ST Rosyam Mart turut menyediakan sudut khas jualan.

“Ramai dalam kalangan personaliti popular pelbagai lapangan mengusahakan produk IKS (industri kecil dan sederhana), jadi kami buka ruang kepada mereka berniaga di sini,” ulasnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok