Tiada lagi rasa nak pengsan – Maya Karin

SEDEKAD berjuang melawan masalah anxiety atau kebimbangan melampau, pelakon Maya Karin bersyukur mampu melaksanakan tugas sebagai penyampai trofi di Anugerah Gempak Most Wanted (AGMW), baru-baru ini.

Pemilik nama lengkap Maya Karin Roelcke, 44, itu berkata, dia lega apabila tidak mengalami serangan panik atau hampir pitam seperti yang pernah terjadi sebelum ini terutama apabila berdepan khalayak penonton.

“Alhamdulillah, terima kasih Tuhan semuanya berjalan lancar di Anugerah Gempak, tiada rasa gigil atau nak pengsan, buka kasut dan sebagainya,” katanya dalam hantaran di Instagram.

Dalam acara pengiktirafan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Ahad lalu, Maya menyampaikan anugerah bersama pelakon, Rozita Che Wan.

Pada hantaran sama, bintang filem Pontianak Harum Sundal Malam itu turut mendedahkan emosinya berada dalam keadaan stabil biarpun keletihan selepas pulang dari Singapura pada hari sama.

“Walaupun sebenarnya saya terlajak tidur sebab penat sangat dari Singapura terus ke Putrajaya, semuanya berjalan lancar,” ujarnya.

Ketika musim pandemik sekitar 2021 Maya ketika ditemu bual Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) mendedahkan berdepan masalah anxiety sehingga gagal dalam uji bakat filem Crazy Rich Asian.

Setahun selepas itu, dia diserang panik ketika menyampaikan anugerah di Festival Filem Malaysia ke-32 (FFM), namun diselamatkan teman gandingan Faizal Hussein yang menjadi tempatnya berpaut untuk membuka kasut.

Maya kelihatan menggigil dan hampir pitam sewaktu membacakan nama pemenang anugerah bagi Kategori Pelakon Lelaki Terbaik pada ketika itu. –  HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok