BELUM berpeluang untuk berdoa sendiri di hadapan Kaabah, pelakon Siti Khadijah menjadi antara individu yang mengirimkan menerusi aktor Aniq Suhair yang kini di berada Tanah Suci Mekah mengerjakan umrah.
Mengimpikan jodoh terbaik buat dirinya, Siti Khadijah Halim, 27, berharap dipertemukan dengan lelaki yang mampu membimbingnya ke jalan benar.
“Aniq, doakan aku jumpa jodoh yang sesuai dengan aku. Amin,” katanya menerusi ruangan komen hantaran gambar dalam Instagram Aniq.
Dalam perkongsian tersebut, Aniq atau nama penuhnya Aniq Suhair Mohd Salleh, 24, mengakui terima banyak kiriman doa daripada orang sekeliling dan pengikutnya dalam media sosial
Malah ujar pelakon filem Banglo Seksyen 12 itu, sebahagian kiriman doa tersebut sudah pun dibaca dan dalam masa sama mendoakan peminatnya dikurniakan rezeki ke Mekah.
“Ramai kirim doa dalam ruangan komen menerusi hantaran Instagram saya sebelum ini. Ada yang sempat saya baca depan Kaabah tetapi mana yang terlepas pandang saya minta maaf.
“Saya juga mendoakan semua yang membaca ini dapat pergi ke Tanah Suci dengan izin Allah, insya-Allah.
“Saya ingin berterima kasih kepada semua mendoakan saya sebelum ini,” ujarnya panjang lebar.
Kali terakhir pelakon yang terkenal menerusi drama Cinta Bersemi Di Wadi Safiyyah itu menunaikan ibadah umrah adalah pada November tahun lalu.
Ketika kunjungannya, bintang kelahiran Herio Remaja itu turut membotakkan kepala selepas selesai menunaikan umrah.
Bagi Aniq perkara itu bukan sahaja sebagai rukun menunaikan umrah, bahkan permulaan baharu selepas dilanda pelbagai kontroversi yang menghambat dirinya sebelum ini. -HIBGLAM