KELANTANGAN dan keberanian penyanyi Kaka Azraff bersuara tentang isu Palestin dalam media sosial menyebabkan kontraknya bersama syarikat rakaman antarabangsa ditamatkan pada 31 Disember tahun lalu.
Perkara itu bagaimanapun tidak sedikit pun meragut prinsip mahupun menyekat perjalanan kerjaya seninya.
Sebaliknya, Kaka atau nama sebenarnya, Nor Atiqa Azraff, 35, melihat apa yang berlaku secara positif.
Kaka yang kini merupakan ibu kepada tiga anak lelaki iaitu Aslan, 5, Aryan, 2, dan Atta Adam, 6 bulan, menyifatkan penamatan kontrak tersebut berlaku pada waktu yang tepat.
Meskipun menerima banyak tawaran daripada label dan syarikat pengurusan lain, Kaka bagaimanapun memilih untuk menguruskan sendiri kerjayanya buat masa ini.
“Selepas 12 tahun bergelar penyanyi, sudah tiba masanya untuk saya cuba bergerak sendiri dan perkara ini berlaku pada waktu yang sangat sesuai.
Saya yang kini ibu kepada tiga anak kecil dan apabila semuanya diuruskan sendiri oleh pasukan saya, saya boleh seimbangkan masa bersama keluarga.
“Anak-anak kecil memerlukan lebih perhatian, jadi ini adalah yang terbaik untuk saya dan keluarga. Saya masih boleh bekerja seperti biasa, cuma saya lebih berkuasa untuk tentukan jadual kerja,” tutur Kaka.
Penyanyi yang popular dengan lagu Bawaku Pergi itu turut mendedahkan ‘ribut’ dalam kerjaya seninya pada tahun lalu telah membuka matanya untuk lebih berdikari.
Jika dahulu, Kaka hanya mahu berkarya, tetapi kini pemikiran dan pandangannya terhadap dunia muzik telah berubah 360 darjah.
“Sebelum ini saya hanya ingin berkarya, tentang pengurusan dan kontrak saya tidak ambil kisah. Namun, sekarang saya sudah faham mengapa artis perlu memahami isi kandungan kontrak.
Cara saya berfikir juga sudah bertukar seperti ahli perniagaan. Apa sahaja yang dilaburkan dalam karier seni saya harus bawa keuntungan.
“Walaupun semua ini masih terlalu baharu untuk saya, hasil pertemuan dengan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, peguam dan rakan-rakan industri, saya yakin mampu melakukannya,” kata Kaka penuh semangat.
Terdahulu, kontrak Kaka bersama syarikat rakaman antarabangsa ditamatkan atas alasan penggunaan bahasa kasar ketika dia meninggalkan komen terhadap pempengaruh dan pelakon Australia pro-Israel, Nathaniel Buzolic di Instagram.
Tekad untuk melupakan episod hitam dalam kerjaya seni dan membuka lembaran baharu, pemenang Anugerah Juara
Lagu ke-35 menerusi lagu Gila itu merancang mahu menghasilkan lebih banyak karya dan album pada tahun ini.
Saya dah move on dengan kisah yang lepas kerana perkara itu berlaku tahun lalu. Sekarang kita di tahun 2024, saya hanya fokus untuk meluaskan kerjaya pada tahun ini.
“Insya-Allah dua lagu saya akan jadi runut bunyi drama dan sebuah single bakal dikeluarkan tidak lama lagi,” kongsi Kaka yang berterima kasih atas sokongan semua pihak terhadap dirinya. – HIBGLAM