Bertunang Disember, Atikah Suhaimie nikah 21 Januari ini

PELAKON kelahiran Singapura, Atikah Suhaime mengakui berdebar menanti detik pernikahannya dengan ahli perniagaan, Datuk Lokman Teh di Kuala Lumpur pada 21 Januari ini.

Menurut Atikah, 33, momen paling dinanti-nantikannya ialah majlis akad nikah yang menyaksikan dia bakal bergelar isteri kepada Lokman.

“Alhamdulillah saya sudah bertunang Disember tahun lalu, cuma baru kongsi hari ini.

Perasaan saya bercampur-baur ketika ini. Tambahan pula saya orang Singapura dan berkahwin dengan orang Malaysia, rasa itu sukar untuk diterjemahkan.

“Saya pula seorang yang rapat dengan keluarga di Singapura, jadi memang rasa sebak sebab selepas ini prioriti adalah suami. Insya-Allah saya akan cuba membiasakan diri,” katanya kepada HibGlam hari ini.

Mengulas lokasi pernikahan yang diadakan di Kuala Lumpur dan bukannya di Singapura, dia menjelaskan perkara tersebut adalah atas persetujuan bersama keluarga kedua belah pihak.

“Majlis perkahwinan memang sudah dirancang di Kuala Lumpur dan menghimpunkan kedua-dua keluarga.

Kami memilih Kuala Lumpur kerana keadaan kesihatan nenek Lokman yang kurang sihat.

“Insya-Allah esok saya akan adakan kenduri marhaban pengantin di kediaman di Singapura,” ujarnya yang memaklumkan persiapan perkahwinannya kini sekitar 95 peratus.

Dalam pada itu, dia yang popular menerusi drama Dendam Cinta Arissa berkata, setiap tawaran lakonan perlu mendapat keizinan suami selepas berkahwin kelak.

“Isu kerja juga antara perkara perlu disesuaikan dengan status sebagai isteri nanti.

Sebelum ini suka hati nak terima mana-mana tawaran dan hanya berbincang dengan pengurus tetapi selepas ini perlu minta pandangan dan izin suami terlebih dahulu.

“Bakal suami memang tidak halang saya berlakon tetapi setiap watak dan jadual perlu ikut kesesuaian,” jelasnya.

Terdahulu, hubungan Atikah atau nama penuhnya Nur Atikah Mohd Suhaime dengan Lokman bukan lagi rahsia dan perkhabaran mereka bakal mendirikan rumah tangga mula diperkatakan selepas dia memuat naik foto hadir ke kursus kahwin sekitar November lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok