4 nama besar K-pop turun Malaysia 2024

SEMALAM berlabuhnya tirai tahun 2023 dan hari ini bermula jilid baharu kehidupan buat setiap individu yang barangkali sudah mempunyai perancangan rapi mahupun hasrat ingin dicapai sepanjang tahun ini. 

Perkara sama juga sedang dirasai peminat K-pop yang sejak tahun lalu telah menantikan pengumuman kedatangan idola pujaan mereka ke negara ini untuk disaksikan secara langsung.

Tahun lalu menyaksikan ramai pemain seni popular Korea Selatan menjadikan Malaysia sebagai antara destinasi kunjungan antaranya  kumpulan Mamamoo, Blackpink, Kim Sen-ho, Bambam, Kim Sejeong, Lee Seung-gi dan Lee Jun-ho.

Memasuki tahun 2024, Daebak membariskan nama selebriti K-Pop yang bakal singgah bertamu di Malaysia.

IVE

Kumpulan IVE

KUMPULAN wanita IVE yang terdiri daripada 6 ahli iaitu Yujin, Gaeul, Rei, Wonyoung, Liz dan Leeseo membuat debut pada 1 December 2021 dengan album single pertama berjudul Eleven cukup meledak, sekali gus memperkenalkan mereka di persada antarabangsa.

IVE mempunyai kelab peminat dari seluruh negara termasuk di Malaysia yang dikenali sebagai Dive.

Buat julung-julung kalinya, kumpulan wanita popular itu bakal melakukan konsert jelajah dunia buat pertama kali bertemakan Show What I Have di Axiata Arena pada 17 Februari 2024 nanti.

Cha Eun-woo

CHA EUN-WOO

Siapa tidak kenal dengan jejak tampan, Cha Eun-woo yang merupakan penyanyi dan pelakon yang sangat digemari pemuja bakatnya baik dari dalam mahupun luar negara.

Penyanyi yang mempunyai struktur wajah hampir sempurna itu asalnya dikenali menerusi kumpulan idol, ASTRO yang berada di bawah naungan agensi Fantagio. 

Impian sekian ramai peminat yang sudah lama kempunan untuk melihat wajah idola mereka itu bakal tercapai apabila penyanyi berketinggian 180 sentimeter itu bakal berkunjung ke Malaysia pada 9 Januari 2024 anjuran Skechers bertempat di Tun Razak Exchange.

‘Oppa’ berusia 27 tahun itu juga tidak sabar mahu bertemu peminat di Malaysia, selain teruja ingin mencuba makanan popular seperti nasi lemak.

“Jangan lupa datang, saya juga teruja ingin makan Nasi Lemak, ramai kata sedap,” ujarnya menerusi satu hantaran dalam media sosial.

Selain menyanyi, Eun-woo popular menerusi drama lakonan  seperti menerusi True Beauty.

JESSICA

JESSICA JUNG

Bekas ahli kumpulan Girl’s Generation (SNSD), Jessica Jung mengumumkan konsert solo pertamanya di Malaysia pada 31 Januari 2024 depan.

Konsert Diamond Dreams Concert Tour itu, sekali gus menjadi penampilan pertama penyanyi jelita tersebut di Malaysia selepas enam tahun aktif solo.

Sejak memulakan kerjayanya di Korea Selatan pada tahun 2007, Jessica yang popular dengan gelaran Ice Princess mula meraih populariti menerusi penglibatan dalam kumpulan gadis K-pop, Girl’s Generation.

Bukan hanya bakat vokal, bahkan personalitinya yang kadangkala mempunyai sisi ‘random’ itu juga membuatkan wanita berusia 34 tahun itu lain daripada yang lain.

Mark Tuan 

MARK TUAN

Mark Tuan merupakan anggota kumpulan GOT7 dan sangat dikenali dengan bakat rapnya yang sangat hebat.

Bukan sahaja berbakat besar, jejaka kelahiran Amerika Syarikat itu mempunyai  rupa paras dan personaliti menawan sehingga berjaya mengumpul pengikut sekitar 14 juta dalam Instagram dan tiga juta menerusi YouTube.

Demi memenuhi permintaan peminatnya di Asia Tenggara yang mahukan sebuah konsert besar, Mark memutuskan untuk mengadakan konsert di Malaysia sebagai tanda perkenalan dan sayangnya buat peminat di sini.

Konsert bertemakan The Other Side Asia Tour 2024 dijadualkan berlangsung di Zepp KL pada 6 Januari 2024 dengan variasi lagu mencengkam jiwa.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok