Syada Amzah tetap idolakan Shila Amzah

“TIADA secebis pun rasa iri hati pada kakak saya.”

ITU penegasan penyanyi Syada Amzah mengakui tidak pernah mencemburui kejayaan penyanyi Shila Amzah biarpun suatu ketika dahulu kerap ditinggalkan ibu bapa mereka yang sibuk menguruskan kerjaya seni kakak sulungnya.

Pemilik nama sebenar Nursyuhada Amir Amzah, 25, itu berkata, sebagai adik sudah tentu dia berbangga mempunyai kakak yang berbakat besar.

“Tiada secebis pun rasa iri hati pada kakak saya, hanya masa yang ibu dan ayah luangkan untuknya dan tinggalkan saya serta adik beradik lain ketika masih bersekolah.

“Selain itu, bukan rasa cemburu, sebaliknya saya rasa bangga sebab dapat kakak sehebat itu,” katanya dalam Instagram.

Penyanyi Hasrat itu memberikan respons bagi menjawab pertanyaan pengikut laman sosialnya berhubung perbandingan yang kerap dibuat netizen.

Menurut anak bongsu daripada empat bersaudara itu lagi, dia tidak pernah berkecil hati apabila kerap dijadikan sasaran kecaman segelintir individu.

Kata peserta Big Stage musim kedua itu, tiada kecaman netizen yang boleh menyinggung perasaannya, bahkan Shila juga dianggap idolanya.

“Ya, dia merupakan idola saya dalam bidang nyanyian. Saya bersyukur kerana kami mempunyai pertalian darah.

“Alhamdulillah, tiada kata-kata daripada awak (netizen) yang boleh menyinggung perasaan saya,” ujarnya

Menurut penyanyi itu lagi, kecaman sudah biasa diterima, bukan hanya dari segi nyanyian, pemilihan pakaian serta keadaan giginya turut menjadi bahan pertikaian.

“Ada kata baju saya nampak seperti 90-an, ya saya kongsi baju dengan ibu.

“Gigi kuning, ya saya ada masalah flurosis akibat terlalu kerap gosok gigi.

“Bukan riak cuma setidaknya saya tahu diri tidak sempurna,” luahnya lagi.

Sebelum ini, Syada kerap memuat naik video nyanyian lagu saduran seperti Pangako Sa ‘Yo, Mirai E, Shinunoga E-wa dan Kalam Eneih.

Nyanyiannya menerima pelbagai maklum balas ramai termasuk pujian namun, rata-rata seolah-olah mencari kekurangannya dengan melayangkan kutukan.

Sebelum ini hubungan mereka dingin berikutan isu cadangan Shila mahu menjual banglo didiami keluarga yang membawa kepada konflik adik-beradik. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok