4 bintang K-pop, sudahlah popular, genius pula

DAHULU, boleh dikatakan artis dan bidang pendidikan merupakan satu dunia yang berbeza. Gelaran artis itu sahaja sudah memberi makna berbeza kepada khalayak. 

Kini, lambakan artis yang menempa nama dalam dunia seni bukan sahaja dilengkapi pakej paras rupa malah berbekalkan pendidikan tinggi yang menambah nilai mereka di mata umum. Kimchi Panas minggu ini menampilkan beberapa selebriti Korea Selatan yang mempunyai pakej lengkap baik dari segi raut wajah, populariti dan akademik.

Song Joong-ki 

Siapa sangka penggalas watak tentera dalam drama popular Descendants Of The Sun itu merupakan seorang sarjana di sebuah universiti terbaik di Korea Selatan. 

Malah menurut sebuah laporan, aktor yang menjadi kegilaan ramai itu sememangnya sudah popular di universiti dek raut wajah tampan selain genius dalam pelajaran dan aktif berpersatuan. 

Joong-ki menyelesaikan kuliahnya di Sungkyunkwan University dalam jurusan Pengurusan Perniagaan malah lulus dengan keputusan memuaskan sehingga berjaya meraih beberapa anugerah seperti Graduan Terbaik, Graduan Popular dan Graduan Aktif Sukan. 

Bakat dan latar belakang akademik aktor kacak itu selayaknya menjadi contoh buat generasi muda, apapun bidang yang  diceburi, ilmu tetap menjadi keutamaan. 

Jun Ji-hyun

Pelakon termahal di Korea Selatan, Jun Ji-hyun merupakan graduan Ijazah Sarjana dalam jurusan Filem dan Teater di Universiti Dongguk dengan nilai purata akademik yang sangat tinggi. Dilaporkan, dia merupakan antara pelajar terbaik di universiti tersebut. 

Tidak terus selesa di tahap tersebut, aktres jelita itu melanjutkan pelajarannya sehingga ke peringkat sarjana dalam bidang Media Digital. 

Dia bukan sahaja mahir dalam dunia lakonan malah aktif juga membuat kerja-kerja di belakang tabir tidak kira untuk rumah produksi mahupun sekadar membuat video muzik. 

Kyuhyun

Siapa tidak kenal figura versatil bernama Kyuhyun. Bukan sahaja mempunyai personaliti yang menarik, dia malah merupakan artis Korea Selatan yang memiliki latar belakang akademik cukup baik.

Pada 2013, anggota Super Junior itu lulus cemerlang dalam jurusan Postmodern Music dan pada tahun sama, artis bawah naungan SM Entertainment itu melanjutkan pelajarannya ke peringkat sarjana di universiti sama iaitu Kyunghee University.

Berkat usaha kerasnya dalam bidang akademik, Kyuhyun berjaya meraih gelaran sarjana pada 2017 malah tesisnya dilaporkan menjadi bahan yang paling banyak dicari dalam perpustakaan dalam talian Korea Educational Research and Information Service. 

Dalam tesisnya, dia membahas tentang strategi globalisasi K-pop yang kala itu sudah merajai Asia Tenggara, Amerika Utara, dan Eropa.

Tidak terhenti di situ, dia banyak berjaya menjuarai pertandingan matematik anjuran Kementerian Pendidikan, Sains dan Teknologi Korea Selatan yang disertai lebih 200 calon. 

Kim Tae-hee

Pelakon jelita, Kim Tae-hee mula berpindah ke Seoul pada 1999 untuk melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Reka Bentuk Fesyen di sebuah univerisiti berprestij iaitu Seoul National University.

Kepintarannya tidak dapat disangkal lagi apabila berjaya meraih Anugerah Graduan Terbaik kerana sentiasa mendapat skor sempurna dalam setiap subjek.

Bukan sahaja bijak dalam akademik, aktres itu sangat aktif bersukan dan sentiasa menjadi pilihan mahasiswa untuk mengetuai perwakilan pelajar. 

Menariknya, isteri kepada penyanyi terkenal, Rain itu pernah memegang jawatan sebagai presiden Kelab Ski Wanita SNU dan telah membuat banyak perubahan cemerlang buat kelab tersebut.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok