Jiran jadi musuh, artis korea berdepan konflik

BUKAN mudah hidup harmoni dalam komuniti, apatah lagi jika toleransi kian menipis. Sedikit gangguan mampu mencetus bara konflik, lalu mencalar hubungan sesama tetangga.

Realiti ini bukan hanya milik orang biasa, bahkan selebriti ternama turut terperangkap dalam kemelut sama. Populariti bukan menjamin kehidupan peribadi bebas drama.

Ada kes berpunca daripada sikap artis sendiri, tidak kurang juga tercetus kerana salah faham berpanjangan. Apa pun, setiap konflik meninggalkan kesan terhadap imej dan reputasi.

Bila ketenteraman tergugat, suara bantahan mula bergema. Ada bertindak secara rasmi, deretan memilih meluah dalam media sosial sehingga isu kecil jadi besar.

Kimchi Panas minggu ini menyenaraikan beberapa selebriti Korea Selatan yang pernah berdepan konflik panas bersama jiran sehingga menjadi bualan ramai.

Song Joong-ki

Kontroversi melibatkan aktor terkenal ini tercetus pada 2021 apabila beberapa jiran memprotes kerja ubah suai kediamannya. Proses pembinaan didakwa mengganggu ketenteraman kawasan sekitar.

Lebih membimbangkan, struktur jalan di hadapan rumah berubah ketinggian sehingga mencetus beberapa kemalangan kecil. Keadaan itu menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk setempat.

Dakwaan menyebut perubahan tersebut dibuat bagi memudahkan akses ke parkir kediaman, namun kesannya menyebabkan laluan menjadi sempit serta curam. Situasi itu jelas membahayakan pengguna jalan raya.

Natijahnya, Pejabat Daerah Yongsan mengarahkan pelakon drama terkenal Descendants of the Sun itu membaiki dan mengembalikan jalan tersebut dalam keadaan asal semula melalui utusan surat rasmi.

Enggan serabut, jejaka tampan itu akhirnya merelakan sebahagian daripada tanah yang dibelinya itu digunakan sebagai laluan awam.

Sung Si-kyung


Sung Si-kyung turut dikaitkan dengan isu gangguan bunyi selepas beberapa individu meluahkan rasa tidak puas hati dalam media sosial.

Walaupun pihak pengurusan pernah tampil memohon maaf serta cuba meredakan keadaan, masalah sama dikatakan terus berulang hingga mencetus ketegangan.

Keadaan menjadi lebih serius apabila jiran hampir membuat laporan rasmi akibat gangguan berterusan pada waktu malam.

Selepas identitinya terbongkar, penyanyi itu akhirnya tampil memohon maaf secara terbuka dan mengakui tabiat mendengar muzik hingga lewat malam menjadi punca utama.

Hyolyn

Penyanyi bersuara lantang ini juga pernah berdepan konflik dengan jiran tetangga apabila sering mengadakan parti di kediamannya.

Aktiviti tersebut dikatakan mengganggu ketenteraman sekeliling. Bunyi muzik kuat serta kehadiran ramai tetamu pada lewat malam mencetus rasa kurang senang dalam komuniti berhampiran. Aduan demi aduan mula kedengaran.

Sumber tempatan turut mendakwa suasana bising menjadi rutin, terutama apabila rakan-rakan industri berkumpul di kediamannya. Keadaan itu berlarutan hingga mencetus tekanan kepada jiran.

Akhirnya, penyanyi berusia 35 tahun itu memilih jalan drastik dengan menjual rumah tersebut dan berpindah ke lokasi lebih privasi, sekali gus menamatkan konflik berpanjangan.

Kim Kyung-nam

Turut tersenarai dalam senarai Kimchi Panas adalah Kim Kyung-nam apabila seorang individu meluahkan rasa terganggu akibat bunyi bising dari kediamannya. Dakwaan tersebut tular dalam media sosial pada 2021.

Menurut pendedahan individu terbabit, aktiviti melepak pelakon itu bersama rakan-rakannya berlarutan hingga lewat malam, malah ada kalanya hingga subuh. Situasi itu didakwa berlaku beberapa kali dalam seminggu.

Setelah disiasat, terbongkar juga bahawa artis yang dimaksudkan adalah Kim Kyung-nam dan perkara tersebut disahkan agensinya beberapa hari selepas itu selepas menerima hamburan kata nista netizen.

Mahu berdamai, jejaka berusia 36 tahun itu telah mengunjungi jiran tetangganya untuk meminta maaf dan berjanji akan lebih peka. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok