Lee Seung-gi jatuh cinta dengan sate Malaysia

LEE Seung-gi , antara nama yang sangat kukuh dalam arena seni Korea Selatan dan turut dikenali di seluruh dunia. Bukan hanya sebagai penyanyi dan pelakon, dia juga turut dilabel versatil selepas menjadi pengacara untuk beberapa program hiburan.

Debutnya sebagai penyanyi adalah sekitar tahun 2004 yang berjaya membawa namanya terbang tinggi selain memenangi pelbagai trofi di Korea.

Selain bidang nyanyian, dia juga merupakan antara pelakon paling berpengaruh di Korea apabila hampir semua dramanya berjaya meninggalkan impak luar biasa terhadap para penonton.

Mouse, Vagabond, My Girlfriend Is a Gumiho dan A Korean Odyssey antara naskhah lakonannya yang meledak sehingga mencetuskan fenomena di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Daebak hari ini membawakan temu bual istimewa HibGlam bersama aktor berusia 37 tahun itu ketika ditemui di acara Onederful Day With Lee Seung-gi baru-baru ini yang membicarakan tentang rangkuman kerjaya seninya.

HIBGLAM: Berjaya memahat nama sebagai pelakon ternama dan dikenali dunia hari ini, apakah watak atau karakter yang akan ditolak mentah-mentah oleh anda?

SEUNG-GI: Sejujurnya saya bukan pelakon yang terlalu memilih untuk setiap watak yang ditawarkan, namun sebelum ini ada pengarah yang berminat untuk beri watak idola kepada saya.

Selepas berfikir, saya rasa watak tersebut tidak lagi sesuai dilakukan pada usia sekarang terutama sekiranya memerlukan saya menari.

Tidak kiralah lakukan macam mana, saya merasakan watak itu tak akan direalisasikan dengan baik. Saya menolak untuk menari sebab tidak begitu bagus dalam hal itu.

Jika diminta membuat pilihan antara pelakon dan penyanyi, kerjaya mana satu yang paling disukai?

Sebenarnya kedua-dua cabang kerjaya adalah sangat menarik. Selagi dapat jana pendapatan, saya akan teruskan kerjaya sebagai penyanyi dan pelakon.

Kalau disuruh membuat pilihan, penyanyi lebih menarik. Kerjaya itu memberi saya lebih banyak ruang berfantasi dan idea untuk berkarya.

Sudah hampir dengan penghujung tahun 2023, mungkin anda boleh rangkumkan antara momen menarik yang berlaku sepanjang tahun ini dalam lipatan kerjaya dan hidup anda?

Terlalu banyak momen yang menarik sebenarnya tetapi tiga perkara paling hebat berlaku pada tahun ini ialah siri jelajah Asia, perkahwinan bersama aktres, Lee Da-in dan syarikat yang saya tubuhkan.

Selain itu, peluang bertemu dengan peminat menerusi jelajah konsert juga antara satu momen indah juga buat saya sebagai penyanyi.

Kami dapat menikmati momen indah bersama, dapat berkomunikasi melalui muzik dan bermain dalam permainan bersama juga amat menyeronokkan.

Berjaya meletakkan diri sebaris dengan pelakon ternama Korea lain sehingga dikenali di seluruh dunia, mungkin anda boleh kongsikan apakah perkara paling membanggakan sepanjang hampir dua dekad bergelar anak seni?

Terlalu banyak, tidak terhitung (tertawa kecil). Sebenarnya paling saya bangga ialah dapat berlakon The King 2 Hearts, itu antara drama yang memang menjadi impian sebagai pelakon.

Bagi saya, setiap tahun adalah tempoh yang hebat dan sangat sukar untuk memilih perkara paling dibanggakan.

Mungkin salah satunya juga ialah menerima anugerah pelakon lelaki terbaik selepas selesai latihan ketenteraan selama dua tahun.

Pengiktirafan itu sangat mengejutkan kerana saya pernah terfikir adakah masih diterima dalam industri seni dan diingati peminat selepas menghilang selama dua tahun.

Berpeluang mengadakan siri jelajah di Malaysia yang sudah memasuki kali kedua, apakah antara momen istimewa paling diingati apabila berpeluang bertemu peminat di sini?

Setiap kali hadir ke Malaysia, saya memang sangat teruja. Secara peribadi, peminat di sini sangat baik dan sambutan diberikan luar biasa.

Saya sangat seronok dan harap akan hadir lagi mungkin buat kali ketiga dalam tempoh terdekat.

Jika ditanya satu perkara menarik sama ada makanan atau sebagainya, saya sangat sukakan sate. Saya sudah mencuba menu itu di Singapura dan Malaysia tetapi sate di sini juga yang berjaya menambat hati.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok