Ainul Aishah belum bersara

AGAK lama tidak nampak wajah pelakon Ainul Aishah menghiasi naskhah televisyen mahupun layar perak.

Drama atau filem terakhir lakonannya sukar untuk diingati. Dek perihal sedemikian, ramai peminat menyangka wanita berkulit hitam manis itu sudah merajuk dengan industri hiburan.

Dua tahun tiada naskhah terkini, tidak mustahil, Ainul sudah cuci kaki dari lokasi penggambaran.

Pelakon berusia 38 tahun itu bagaimanapun menangkis telahan umum, dia bahkan mengakui hanya memperlahankan rentak demi memberikan fokus terhadap bisnes.

Katanya, tiada istilah bersara berlakon memandangkan bidang seni sudah sebati dalam diri, namun perniagaan kafe yang diusahakan memerlukan pengorbanan besar.

“Kedai roti dan kopi saya beroperasi sejak dua tahun lalu.

“Dengan perniagaan yang masih dalam fasa bertatih saya kena beri lebih perhatian terhadap operasi harian biarpun sudah mempunyai tiga pekerja.

“Urusan membuat biskut dan pastri saya buat sendiri, jadi susah nak tinggalkan kafe untuk tempoh panjang, tapi kalau pada masa sama saya masih mahu rebut tawaran berlakon.

“Apa pun saya bukan pencen berlakon, sebaliknya ambil masa sedikit untuk beralih ke arah perniagaan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran serum Tatagaltier, baru-baru ini.

AINUL kini rancak mengembangkan perniagaan kafe, biskut dan pastri  yang diusahakan sejak dua tahun lalu.

Ditemani suami, Khalid Redzuan yang juga seorang usahawan, pemilik nama sebenar Ainul Aishah Azizun mengakui teman hidup antara individu yang sering memujuknya kembali berlakon.

Kali terakhir Ainul terbabit dalam produksi drama adalah menerusi naskhah Terlerai Noktah arahan Amor Rizan yang disiarkan menerusi slot Samarinda TV3 sekitar 2021.

“Siapa tak rindu masuk set semula, tambahan pula melihat industri kita makin meriah selepas melalui fasa sukar ketika era serangan Covid-19 dulu.

“Kita tengok nanti, kalau untuk penampilan khas atau babak tak banyak sampai saya perlu tinggalkan dapur lama-lama, mungkin boleh. Dapat lepas rindu,” katanya.

SUAMI antara individu yang tidak putus-putus mendorong Ainul kembali aktif berlakon.

Pelakon yang mula menyerlah sejak 2006 menerusi filem Nana Tanjung itu bersyukur meraih sokongan padu daripada lelaki yang dikahwini genap setahun lalu.

“Alhamdulillah, sejak bercinta selama lima tahun, kemudian bertunang dan kini bergelar suami, sokongannya semakin kuat sama ada dalam berbisnes mahu pun kerjaya seni.

“Kami sama-sama ada sasaran dan kalau boleh mahu kembangkan lagi biskut dan pastri bawah jenama jenama Ainul Cookies & Co. ke pasaran luar,” katanya.

Ainul, 38, mendirikan rumah tangga dengan lelaki asal Kedah itu pada 18 September 2022 selepas lebih setahun mengikat tali pertunangan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok