PENYANYI dangdut sensasi, Baby Shima tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang berterusan menabur fitnah menuduhnya melakukan pekerjaan terkutuk bertopengkan status penyanyi selama ini.
Shima, 31, berkata, komen-komen mengutuk secara melampau terhadapnya tidak lagi boleh dipandang ringan seolah-olahnya dirinya terbabit dalam aktiviti tidak senonoh seolah-olah terdesak untuk mencari wang dengan cara bergelek.
“Janganlah kaitkan saya dengan kerja tak elok sebab saya tak terdesak sangat sampai sanggup cari duit dengan cara seperti dituduh beberapa individu itu. Saya sebenarnya malas mahu panjangkan isu ini kerana asyik perkara sama diperkatakan, lebih-lebih lagi mengenai gelek, tetapi saya kena suarakan,” katanya.
Tegas Shima, sebagai penyanyi dangdut, dia hanya menari seperti biasa mengikut alunan dendangan dan perkara itu bukan sesuatu yang sewenang-wenangnya boleh dihina.
Mengulas mengenai isu penyebaran video tular yang memaparkan sedang bergelek sakan di kelilingi pelanggan di sebuah kelab hiburan di Selatan tanah air baru-baru ini, pemilik nama sebenar Nor Ashima Ramli, 27, itu berkata situasi tersebut tidak sebagai mana tohmahan netizen.
“Sudah banyak kali saya kongsi poster ‘show’ terbabit dalam Instagram iaitu sebaik pengurusan hotel menjemput saya membawakan empat lagu pada malam itu.
“Selepas habis menyanyi saya terus balik, tetapi saya tengok berita yang ‘dinaikkan’ sebuah portal seolah-olah saya buat kerja tak elok sampai saya jadi sasaran kecaman.
“Macam-macam tuduhan melampau dilemparkan. Saya sudah rujuk kepada peguam untuk tindakan lanjut serta kepada SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia). Tunggu,” katanya kepada Kosmo! Online.
Menurut Shima lagi, itu adalah penampilan kali keduanya di lokasi berkenaan, malah sebelum itu beberapa penyanyi lain pernah menjayakan persembahan di lokasi sama.
Antara penyanyi terbabit ialah MK K-Clique, Ben Ladin, Zynakal serta Kidd Santhe.
Penyanyi Pura Pura Bujang itu turut berkongsi tangkap layar komen-komen netizen laman sosial yang memburukkan namanya.
“Aku rasa dia ni simpanan geng dato.
“Padahal bukan menyanyi sana, Mabuk-mabuk sana.
“Aku jadi ‘bodyguard’ empat tahun, bos aku rajin cari Baby Shima. Tak tahu buat apa,” itu antara tuduhan dilemparkan kepadanya. – HIBGLAM