Karier artis berkubur sebab pengurus berangan diva – Ahmad Idham

PENGARAH terkenal, Dr. Ahmad Idham memberi peringatan kepada selebriti agar tidak membiarkan pengurus mengawal karier mereka sepenuhnya tanpa sebarang pemantauan.

Baginya, segelintir pengurus artis tidak layak diberi kebebasan melampau dan hanya melihat tawaran wang tanpa memikirkan perkembangan kerjaya artis untuk jangka masa panjang.

Saya pernah memberi amaran kepada artis supaya berhati-hati dengan sikap pengurus yang boleh menjadi penyebab karier mereka mati.

“Ramai penggiat seni tidak sedar, mereka berisiko tenggelam dan hilang tawaran dalam industri hiburan disebabkan pengurus yang berangan diva selain suka memilih-milih.

“Masalah sekarang di Malaysia, ada pengurus tidak layak digelar pengurus kerana mereka hanya pembantu peribadi, pembawa pakaian atau pemandu sahaja,” katanya ketika sidang media drama bersiri Bukan Sekadar Lafaz di Sri Pentas, Bandar Utama, semalam.

Kongsi pemilik Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang pernah melalui pengalaman sama menyifatkan sikap pengurus yang lebih sudu dari kuah menyusahkan artis mereka sendiri serta banyak pihak.

Saya pernah mengalami senario berhadapan pengurus sebegini, dan kemudian terus telefon artis itu sendiri untuk berbincang.

“Pemikiran mereka jumud malah bukan macam pengurus kerana apabila kita tawarkan watak kepada artis mereka, belum cerita apa-apa terus letak harga tidak muhasabah.

“Bagi saya, kita bincang dahulu, mana tahu boleh lonjakkan karier artis itu ke peringkat seterusnya, soal duit pun saya boleh berkompromi,” ujarnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok