Mesra ada batas, saya suami orang – Aiman Tino

MESKI sudah bergelar suami orang, penyanyi Aiman Tino mengakui masih ada peminat yang cuba bermesra dengannya.

Menurut Aiman, 25, yang biasa melayan peminat dengan mesra sebelum berkahwin, sikap segelintir peminat terhadapnya masih tidak berubah.

“Masih ada peminat yang cuba mendekati atau mengedik, contoh macam cuba pegang tangan walaupun isteri saya ada di sebelah.

“Adakalanya saya sendiri rasa tidak selesa. Jika ada peminat yang cuba terlalu rapat, isteri saya akan tegur tetapi sebagai penyanyi saya akan cuba melayan peminat sebaik mungkin,” ujar Aiman.

SEBAGAI suami, Aiman Tino perlu menjaga hati isteri tercinta, Syarah Haifa meski belahan jiwanya itu memahami kedudukannya sebagai anak seni.

Sungguhpun isterinya bersikap profesional depan khalayak, sebagai suami Aiman sedar dia perlu meletakkan batas antaranya dengan peminat.

“Sebelum ini mungkin saya suka bersikap mesra dengan peminat tetapi sekarang saya meletakkan batas dan lebih berjaga-jaga.

“Orang pun hormat sebab sebelah saya ada isteri. Sendirilah ingat sudah jadi suami dan ada isteri tidak boleh seperti dulu lagi,” kongsi Aiman yang ditemui pada pelancaran restoran Ngam Ngam Neighbourhood di IOI City Mall 2 Putrajaya sebentar tadi.

Dalam pada itu, Aiman yang sudah enam bulan berkahwin dengan Syarah Haifa mengakui kehidupan berumah tangga cukup mencabar.

“Kami masih difasa mengenali dan perlu banyak bertolak-ansur serta mengalah dengan isteri. Pernah juga saya tidur di luar (ruang tamu) dan isteri di dalam bilik sebab dia tengah marah.

“Saya tunggu dia sejuk dahulu barulah pujuk. Sebelum ini pernah nampak ibu bapa begitu, sekarang saya rasa sendiri,” kata Aiman seraya ketawa.

Ditebak soal cahaya mata, Aiman dan isteri menyerahkan kepada takdir dan tidak tergesa-gesa untuk menambah ahli keluarga.

“Saya serahkan pada takdir, jika dapat cepat kami terima. Kami merancang untuk ada tiga atau empat anak sahaja.

“Walaupun membesar dengan 11 adik-beradik, saya tidak mahu anak yang ramai. Sekarang bukan mudah besarkan anak dengan ekonomi yang cukup mencabar,” kata Aiman. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok