GARA-gara telefon bimbit lama milik pengarah muzik terkenal, Datuk Ramli MS atau Tok Ram yang dikatakan sudah terlalu ‘uzur’ sehingga disamakan seperti gajet zaman purba, isterinya Datin Alyah tampil membuat pendedahan, sebenarnya baru-baru ini, dia sudah membelikan peranti baharu sebagai hadiah hari lahir buat suaminya itu.
Menurut Alyah, isu itu timbul selepas netizen menegur sarung telefon suaminya yang lusuh dalam sebuah video tular memaparkan Tok Ram sedang memesan donat buat anaknya, Nur Izzara.
“Sebenarnya sudah ada telefon baru dah hadiahkan tetapi dia sejenis akan guna telefon itu sampai ‘barai’ dan tak boleh guna nanti baru dia tukar.
“Jadi, saya juga sudah berjangkit perangai Tok Ram. Cuma bila difikir-fikir semula, kurangkan pembaziran dan kita pun bukan kaya-raya tapi Allah SWT bagi senang sedikit, syukur alhamdulillah,” katanya.

