PENERBIT dan pengarah Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM), Puan Sri Tiara Jacquelina terkilan apabila hampir 22,000 peminat tidak berpeluang untuk mendapatkan tiket pementasan teater tersebut susulan jualan tiket yang ‘laku keras’ baru-baru ini.
Menurut Tiara, dia menerima pelbagai respons daripada orang ramai termasuk rayuan yang sanggup duduk di mana-mana tempat di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC) Sunway Square iaitu lokasi pementasan PGLM.
“Ada yang merayu kepada saya, mereka kata sanggup berdiri dan duduk di tangga asalkan dapat menonton PGLM.
“Terus-terang saya rasa sangat bersalah dan kasihan kepada 22,000 orang yang masih beratur dalam talian tetapi tidak berpeluang membeli tiket sebab sudah ‘sold out’.
Kalaulah dewan itu milik kami, sudah tentu kami mahu masukkan semua orang. Tetapi sayangnya ada pementasan lain yang menanti sejurus selepas PGLM,” katanya yang ditemui pada sesi latihan pementasan itu di sini, hari ini.
Bukan sahaja orang ramai, dia yang juga pengarah juga hanya berjaya mendapatkan satu tiket untuk suaminya, Tan Sri Effendi Norwawi.
“Saya sendiri hanya dapat satu tiket untuk suami saya sebab pada awalnya mahu membeli nanti tetapi hari-hari lain semuanya habis terjual.
Satu tiket itu pun saya beli sekadar nak mencuba apabila talian dah dibuka. Tak sangka rupanya tak sempat nak beli tiket yang lain,” katanya lagi.
Dalam pada itu, dia terharu melihat sokongan dan sambutan orang ramai apabila sebanyak 23,000 keping tiket habis terjual dalam tempoh hanya dua jam selepas jualan secara online dibuka pada 25 Ogos lalu.
“Kalau sesuatu karya itu bagus, pasti akan bertahan lama, buktinya apabila 23,000 tiket terjual dalam dua jam.
Tak pernah terjadi dalam Malaysia untuk ‘show’ lain sekali pun. Itu bukti yang masih ada orang nak tengok PGL,” ujarnya.
Melihat respons positif ramai, dia mendedahkan pihaknya kini dalam fada perbincangan awal untuk membawa pementasan PGLM ke Singapura. – HIBGLAM

