Bruce Chiu, Charlene An Yu Chin bergabung dengan bintang lokal

MENGANGKAT kisah insan yang tersungkur sebelum mencari kekuatan untuk bangkit semula, filem The Day We Start Again menggandingkan dua pelakon Taiwan, Bruce Chiu dan Charlene An Yu Chin dengan barisan bakat tempatan.

Memulakan penggambaran pada 6 Oktober lalu, filem tersebut turut mempertaruhkan Lay Kar Heng, Olio Tan, Henn dan Yuan Teng, selain menghimpunkan penyanyi, pencipta kandungan, hos siaran langsung serta penyampai radio (DJ).

Penerbit Eksekutifnya, Ryon Lee berkata, naskhah tersebut berkisar tentang sekumpulan orang biasa yang mengejar impian menghasilkan sebuah filem biarpun terpaksa berdepan penipuan, tekanan hidup dan kegagalan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, hubungan dua beradik menjadi tunjang penceritaan, dengan si abang pulang ke kampung untuk menjual ikan masin selepas perniagaannya gagal.

Si adik pula kembali dari Taiwan selepas mengikuti pengajian dalam bidang perfileman, namun menjadi mangsa penipuan ketika akhirnya mendapat peluang merealisasikan impian menghasilkan filem.

Bersama beberapa individu lain yang turut melalui episod kegagalan, mereka berusaha menyempurnakan filem tersebut sambil mencari semula sebab untuk terus bertahan.

Menerusi perjalanan watak-watak berkenaan, Ryon turut menyelitkan pemerhatiannya terhadap industri perfileman Malaysia dan realiti kehidupan, dengan impian, kepercayaan serta keberanian untuk bangkit sebagai inti cerita.

Bagi Charlene, pembabitannya dalam produksi itu menyaksikan dia membawakan watak wanita yang sekian lama menjaga warga emas pada penghujung hayat.

Terperangkap dalam rutin berat dan berulang, kehidupan wanita tersebut mula berubah apabila menyertai projek filem yang diusahakan kumpulan berkenaan.

Bruce pula menerima tawaran berlakon selepas tertarik dengan watak yang diberikan, selain melihat naskhah itu sebagai peluang meneroka sisi berbeza dirinya.

Sementara itu, Lay Kar Heng yang pertama kali menggalas watak utama berharap dapat menceriakan penonton menerusi lakonannya, di samping membina keserasian semula jadi dengan rakan pelakon.

Pengarah Eksekutif, DY Loh pula mahu memberi ruang kepada idea generasi muda bagi menyuntik kesegaran dalam produksi tanpa mengabaikan kedalaman cerita.

Pendekatan tersebut diharap menjadikan The Day We Start Again lebih dekat dengan cita rasa penonton masa kini.

Di sebalik gabungan barisan pelakonnya, filem berkenaan turut menyaksikan Dr. Kervis Soo menggalas empat tanggungjawab utama sebagai penerbit, ketua perancang, penulis skrip dan pengarah.

Pembabitannya merangkumi peringkat pembangunan cerita sehingga penentuan hala tuju kreatif sepanjang penggambaran.

Menurut Kervis, filem yang dibiayai sepenuhnya olehnya itu membawa pengalaman berdepan pengkhianatan, kemalangan, kemurungan dan kehilangan arah ke layar perak.

Menerusi naskhah tersebut, beliau mahu mengingatkan penonton bahawa kesukaran bukan pengakhiran hidup, sebaliknya setiap individu masih mempunyai pilihan untuk bermula semula.

Beliau turut menegaskan komitmen pasukan untuk menyiapkan filem berkenaan meskipun proses produksi memerlukan penambahbaikan berterusan.

The Day We Start Again merupakan terbitan bersama Xingyu Group dan platform hiburan interaktif VYBE, dengan Lomo Pictures mengendalikan produksi.

Filem itu turut membariskan Aron Koh sebagai penerbit, manakala Eelin Ooi bertindak sebagai penyelaras produksi.

Kira-kira 90 peratus penggambaran akan berlangsung di Malaysia, termasuk Kuala Lumpur dan Kluang, Johor, sementara penggambaran tambahan dirancang di Luang Prabang, Laos.

Penggambaran dijangka selesai pada pertengahan November ini, dengan tayangan disasarkan pada 2027. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok