“ADAKAH sebab muka jambu orang susah nak nampak saya dalam watak lain?”
Demikian luahan pelakon Raja Atiq yang terkilan apabila wajahnya dikatakan sukar ditawarkan watak yang lebih mencabar dalam industri.
Tidak melabel diri sebagai pelakon terbaik namun Atiq atau nama penuhnya, Raja Atiqullah Shah Raja Azman Shah, 26, mengakui dia memiliki pengalaman yang lengkap untuk mempelbagaikan watak.
“Saya tak cakap saya pelakon terbaik tapi selepas beberapa tahun dalam industri, saya tahu saya ada pengalaman dan asas yang cukup untuk meneroka karakter lebih mencabar.
Kadang-kadang tertanya juga kenapa susah sangat nak dapat peluang bawa watak macam askar, antagonis atau karakter yang jauh daripada diri sendiri,” katanya dalam Threads.
Bagaimanapun, bintang drama Nur itu memaklumkan luahan tersebut bukan dilakukan atas dasar cemburu dengan pelakon lain sebaliknya mahu menonjolkan bakat dalam dirinya.
Bukan cemburu, cuma nak buktikan yang saya boleh buat lebih daripada apa yang orang biasa nampak,” jelasnya.
Sebelum ini, Atiq pernah mendedahkan tindakan sesetengah penerbit menawarkan pempengaruh media sosial membintangi produksi mereka kadangkala mencetuskan isu di lokasi penggambaran.
Difahamkan, luahan tersebut dikongsikan Atiq susulan dakwaan netizen yang melabelnya sebagai artis sendu sehingga tiada produksi ingin menawarkan pekerjaan. – HIBGLAM

