‘Tak langgar batas, babak cium hanya guna camera trick’

ADEGAN mesra di layar perak tidak semestinya berlaku seperti yang ditonton penonton, apatah lagi jika membabitkan prinsip dan batasan peribadi seseorang pelakon.

Itu pendirian pelakon Arfie Shah yang menafikan dakwaan melakukan aksi cium bersama Nurel Baharin menerusi filem Kacau, sebaliknya mendedahkan babak berkenaan hanya menggunakan teknik manipulasi sudut kamera atau ‘camera trick’.

Arfie atau nama sebenarnya Ad Wafri Shaharuddin, 33, berkata, dia mempunyai batasan tertentu dalam lakonan yang tidak boleh dilanggar, justeru babak mesra di sebuah hospital itu dilakukan dengan bantuan teknik kamera.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Memang ada batasan yang saya tidak boleh langgar. Jadi, babak cium di hospital itu sebenarnya menggunakan teknik kamera.

“Mungkin orang kata jawapan saya klise, tetapi memang betul. Sebab itu, kalau dengar bunyi cium, bunyi itu ditambah kemudian,” katanya ketika ditemui pada malam gala tayangan filem Kacau di TGV KLCC, baru-baru ini.

Prinsip

Menurutnya, dia tidak akan melakukan aksi melampau kerana perkara itu bertentangan dengan prinsip dan batasan peribadi yang dipegang selama ini.

“Itu sangat bahaya dan sudah melebihi batasan peribadi saya. Kalau babak Nurel berbaring di atas badan saya, itu memang berlaku. Tetapi untuk babak cium, tidak. Itu menggunakan teknik kamera.

“Sejujurnya, saya melakukan perkara itu hanya untuk menjayakan karya. Kami sudah berbincang mengenai perkara yang boleh dan tidak boleh saya lakukan,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai pendiriannya, Arfie mengakui dirinya bukan manusia sempurna dan tidak terlepas daripada melakukan kesilapan, namun percaya setiap pengalaman boleh dijadikan ruang untuk memperbaiki diri.

“Saya bukan manusia sempurna. Ada banyak perkara yang saya silap lakukan, kemudian tertanya-tanya mengapa kita buat perkara itu. Jadi, kalau boleh, kita perbaiki diri.

“Bukan bermakna saya tidak akan melakukan kesilapan lagi kerana kita manusia biasa. Kalau boleh elak, kita elak. Kalau sudah terjadi, jadikan pengajaran untuk menjadi manusia lebih baik,” katanya.

Faham kehendak

Pada masa sama, Arfie tidak menafikan kepentingan memahami kehendak pengarah dalam menjayakan sesebuah naskhah, malah sentiasa berusaha memberikan kerjasama terbaik sepanjang proses penggambaran.

Katanya, pengalaman dan pengetahuan mengenai aspek teknikal pembikinan filem turut membantunya memahami kaedah tertentu bagi merealisasikan sesuatu babak tanpa perlu menggadaikan prinsip sendiri.

“Saya sudah nyatakan pendirian, tetapi kita faham sebagai pelakon, kita tahu bagaimana pengarah mahu menjayakan filemnya. Saya juga bukanlah pelakon yang tidak tahu apa-apa kerana banyak belajar mengenai aspek teknikal.

“Jadi, ada teknik tertentu dalam lakonan yang saya faham dan pengarah juga faham. Kita tahu bagaimana hendak melakukannya,” jelasnya.

Selain Nurel dan Arfie, filem Kacau yang diinspirasikan daripada novel karya Ariff Adly berkenaan turut dibintangi Idan Aedan, Kerisyah Kemal, Fimie Don dan Sadiq M Jamil.

Filem cereka kelima terbitan Le Mediator Studio tersebut mula menemui penonton di pawagam pada 12 November lalu.

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram & TikTok