SEORANG wanita dari Minnesota, Amerika Syarikat mencuri perhatian selepas fotonya ditahan polis tular apabila dikatakan memiliki wajah seiras penyanyi dan pelakon terkenal, Jennifer Lopez.
Cyrena Anne Quast, 35, ditahan selepas disyaki mencuri dua bungkusan bateri untuk alat kuasa yang dianggarkan bernilai kira-kira RM2,400.
Menurut laporan, identiti wanita terbabit dikenal pasti seorang pekerja kedai terbabit yang mendakwa mengenalinya susulan kejadian kecurian di lokasi sama dua hari sebelum itu.
Cyrena dilaporkan mengaku mengambil bateri berkenaan ketika disoal siasat pihak berkuasa, namun kes tersebut mencuri perhatian ramai bukan kerana harga barangan dicuri, sebaliknya disebabkan foto wajahnya yang tular di media sosial.
Sebahagian netizen mendakwa pada pandangan pertama mereka menyangka foto berkenaan adalah gambar Lopez atau JLo sekali gus menggelarkan Cyrena sebagai Jenny From D-Block merujuk kepada lagu popular penyanyi itu, Jenny from the Block.
Perbandingan wajah itu kemudian mencetuskan pelbagai komen dalam kalangan pengguna media sosial.
Untuk rekod, Cyrena dilaporkan dibebaskan sehari selepas ditahan berhubung kes kecurian tersebut. – HIBGLAM

