Datuk Fazley henti pakai mekap demi DSV

DEMI cinta hatinya iaitu Datuk Seri Vida (DSV), penyanyi dan Cef selebriti kini selesa tampil tanpa secalit mekap bahkan sanggup menyimpan janggut untuk penampilan sehari-hariannya.

Menurut Fazley atau nama lengkapnya Ahmad Fazli Yaakob 48, dia sendiri membuat keputusan tersebut dan bukannya atas permintaan DSV.

“Sejujurnya sebelum ini bila saya kena pakai mekap untuk urusan kerja, saya tak berapa selesa. Sekarang saya kembali semula menjadi diri saya. Saya selesa tanpa mekap.

“Satu perkara yang saya jarang bercerita, sebenarnya DSV seorang yang sangat menjaga agamanya. Sebelum ini orang selalu cakap dia sering lewat. Tetapi bila saya sudah mengenalinya, kelewatan itu sebenarnya dia mengambil masa yang lama untuk menunaikan solat. Dia buat solat sunat, zikir, berdoa dan membaca al-Quran setiap hari.

“Sebenarnya saya sangat cemburu dan rasa sangat kecil di sisi beliau. Melihat pegagangan agamanya yang cukup hebat, itu yang membuatkan saya yakin dia mampu untuk menjadi peneman saya hingga ke syurga,” katanya ketika ditemui di sidang media Anugerah Melodi Terhangat 2026, di sini, baru-baru ini.

Selain perubahan pada penampilan Fazley, netizen juga perasan akan perubahan pada DSV yang disifatkan semakin menjaga sikapnya sejak mereka berdua mula berdampingan. Menurut netizen, Fazley berjaya mengawal usahawan sensasi itu.

Namun kata Fazley, sebenarnya itu adalah sifat sebenar DSV yang tidak pernah ditonjolkan kepada umum.

“Di belakang kamera, DSV seorang yang jauh berbeza. Itu yang membuatkan saya jatuh hati padanya. Dia seorang yang sangat relaks dan sopan santun.

“Jadi bukan saya yang mengawal DSV supaya jadi lemah lembut. Tetapi dia memang secara semula jadi begitu,” ujarnya.

Hubungan Fazley dan DSV atau nama sebenarnya Hasmiza Othman,54, bukan lagi rahsia. Malah pasangan ini secara terbuka berkongsi momen mesra mereka bersama dalam media sosial mahupun di majlis-majlis.

Mereka berdua turut dicalonkan dalam Anugerah Melodi Terhangat 2026 menerusi kategori Selebriti Couple Goals Terhangat. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok