Kita Warga Malaysia angkat mesej perpaduan

SEMPENA Bulan Kebangsaan, lagu patriotik Kita Warga Malaysia dilancarkan secara rasmi semalam, tampil membawa mesej perpaduan menerusi gabungan muzik, filem, pendidikan, seni serta semangat cintakan tanah air.

Karya ciptaan Dr. Lee Tuck Wah itu mengajak rakyat tanpa mengira latar belakang untuk menghayati identiti bersama sebagai warga Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, karya tersebut hadir tepat pada masanya bersempena Bulan Kebangsaan, selain mampu meniup semangat baharu dalam kalangan rakyat untuk mencintai negara.

“Melodi lagu ini sangat menarik. Saya difahamkan proses komposisinya masih dalam peringkat akhir, namun semangat daripada pihak sekolah, universiti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terbabit cukup kuat.

“Liriknya pula berkisar mengenai Rukun Negara sebagai asas perpaduan serta kebersamaan masyarakat berbilang kaum dan agama di bawah satu negara, iaitu Malaysia.

“Pada saya, karya sebegini bertepatan dengan suasana Bulan Kebangsaan. Lagu seperti ini perlu diketengahkan bagi membawa semangat baharu untuk mencintai negara,” katanyasekali gus merasmikan pelancaran lagu tersebut.

Sementara itu, pencipta lagu, Dr. Lee Tuck Wah menyifatkan Rukun Negara sebagai jiwa kepada Kita Warga Malaysia, sekali gus membezakan karya tersebut daripada lagu patriotik lain.

“Bagi saya, Rukun Negara ialah jiwa karya ini. Ini merupakan lagu pertama Malaysia memasukkan Rukun Negara sebagai elemen utama. Lima prinsip Rukun Negara menjadi asas serta pembukaan lagu.

“Saya berharap Kita Warga Malaysia bukan sekadar didengar, sebaliknya dinyanyikan, difahami dan diamalkan. Saya mahu sekolah di seluruh Malaysia menghasilkan video kreatif Kita Warga Malaysia mengikut identiti negeri masing-masing.

“Sabah dengan wajah Sabah, Sarawak dengan wajah Sarawak dan setiap negeri dengan cerita sendiri. Kita berbeza budaya, tetapi tetap satu negara,” ujarnya pada sidang media video muzik patriotik, Kita Warga Malaysia, di sini, hari ini.

Lee Tuck Wah turut mengumumkan kandungan khas dirakam pada majlis pelancaran tersebut akan ditayangkan menerusi saluran YouTube dan media sosial Kita Warga Malaysia pada 30 Ogos 2026, tepat pukul 8.31 malam.

Selain menampilkan gabungan budaya Melayu, Cina, India, Orang Asli serta etnik Sabah dan Sarawak, lagu tersebut turut mengetengahkan penggunaan alat muzik tradisional serta bunyi gendang pelbagai kaum sebagai simbol keharmonian hidup bersama.

Menariknya, penghasilan Kita Warga Malaysia mengambil masa hampir dua tahun merangkumi proses penciptaan, penggambaran dan penerbitan sebelum dipersembahkan kepada khalayak.

Projek tersebut turut mendapat sokongan profesional industri filem menerusi LOMO Pictures dengan penglibatan Aron Koh, selain sokongan pengarah filem tempatan, Ryon Lee Eng Keong.

Lagu berkenaan menjadikan lima prinsip Rukun Negara sebagai nadi utama karya, meliputi Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang, serta Kesopanan dan Kesusilaan. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok