ISTILAH halal tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai pensijilan untuk umat Islam, sebaliknya ia perlu dilihat sebagai penanda aras kepada aspek kebersihan, keselamatan, ketelusan dan kualiti dalam industri kecantikan.
Pengasas produk penjagaan kulit premium ANAAKA, Adam Chukri berkata, nilai yang terkandung dalam konsep halal sebenarnya boleh diterima semua pengguna tanpa mengira latar belakang.
Menurutnya, perkara itu disedari selepas satu kajian dilakukan sebelum ANAAKA memasuki pasaran Slovakia yang mendapati 78 peratus responden mengaitkan istilah halal dengan ayam, manakala selebihnya mengakui tidak mengetahui maksud sebenar perkataan tersebut.
“Bagaimanapun, apabila ditanya mengenai restoran halal, kebanyakan mereka menggambarkannya sebagai bersih, selamat, tulen, segar dan boleh dipercayai.
Ketika itu saya sedar, saya bukan sekadar membina jenama halal, tetapi sebenarnya membina jenama berasaskan kepercayaan,” katanya.
Adam Chukri berkata, nilai yang terkandung dalam konsep halal sebenarnya boleh diterima semua pengguna tanpa mengira latar belakang.
Adam berkata, pengguna mungkin tidak secara aktif mencari produk halal, namun mereka sentiasa mencari produk yang boleh dipercayai dan mempunyai nilai yang jelas.
“Apabila memahami nilai di sebalik halal, mereka melihatnya sebagai satu tanda kualiti,” katanya.
Jelasnya, perspektif berkenaan kemudian menjadi asas kepada penubuhan ANAAKA yang menggabungkan elemen kemewahan, sains dan nilai tanpa mengabaikan aspek kualiti, selain menolak tanggapan bahawa halal hanya bermula selepas sesuatu produk menerima pensijilan.
“Sedangkan, piawaian itu bermula daripada pemilihan bahan mentah, penyelidikan, formulasi, proses pembuatan, kawalan kualiti, pembungkusan hinggalah kepada keberkesanan setiap bahan yang digunakan.
“Pensijilan hanyalah pengesahan akhir. Halal bukan bertujuan mengehadkan siapa yang boleh menggunakan sesuatu produk, sebaliknya meningkatkan standard untuk semua,” katanya.
Bagi memastikan setiap produk memenuhi piawaian ditetapkan, ANAAKA menggunakan tiga bahan utama iaitu Immortelle, air mawar dan asid Hyaluronic yang disahkan halal, dengan setiap bahan dipilih berdasarkan manfaatnya kepada kulit.
“Kami tidak memilih sesuatu bahan hanya kerana ia popular, tetapi berdasarkan manfaatnya yang telah terbukti. Jika sesuatu bahan tidak memberi nilai kepada kulit, ia tidak akan menjadi sebahagian daripada formulasi kami,” katanya. – HIBGLAM

