‘Jual cerita sedih? Ada tak lirik cakap suami, anak sakit?’

PELAKON Amyza Aznan terkilan apabila terdapat segelintir individu menuduhnya sengaja meraih simpati menerusi lagu berunsur ketuhanan yang dipersembahkan pada konsert minggu ketiga Kilauan Emas Selebriti 2026 (KES26), baru-baru ini.

Menurut Amyza, 50, pemilihan lagu Ya Ilahi Rabbi milik Allahyarham Datin Rafeah Buang tersebut mempunyai mesej ketuhanan yang ingin disampaikan menerusi persembahannya.

“Hadam lirik yang berunsur ketuhanan. Kisah seorang pendosa, anak soleh dan anak derhaka.

“Cakap di mana yang menjual cerita sedih?

“Ada tak lirik ni cakap suami sakit? Anak mati atau sakit?” katanya dalam satu hantaran Threads.

Dalam masa sama, dia menyelar segelintir pihak yang berpendapat dirinya hanya perlu duduk di rumah dan memberi fokus kepada keluarga sahaja.

“Selepas ini saya nyanyi lagu berunsur binatanglah. Okey kan?

“Nyanyi lagu ketuhanan kata raih simpati. Nyanyi lagu rancak cakap pula kita bersukaria,” jelasnya.

Tegas Amyza, semua permintaan tersebut tidak mampu untuk menyara keluarganya dan kehidupannya yang kini berjuang dalam segala hal.

“Suruh pula duduk rumah jaga anak. Duduk hospital jaga suami

“Bila bil sampai, kena beritahulah kepada tuan rumah, syarikat elektrik, bil telefon, bil air, tak boleh bayar sebab jaga suami dan anak. Begitu ya?” sindirnya.

Dia sebelum ini pernah meminta orang ramai tidak mengecam keputusannya untuk menyertai KES26 beberapa bulan selepas pemergian anak sulungnya, Allahyarham Andre Mikhail pada Februari lalu akibat kanser paru-paru.

Sementara, anak keduanya, Adrian Adam, 18, kini bertarung dengan kanser tulang manakala suaminya, Khairil Izhar pula ketika ini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) susulan paru-paru berair serta tekanan darah tinggi.

Amyza berkata, penyertaan tersebut adalah keputusan sendiri dan merupakan caranya untuk mengalihkan diri daripada terus dihantui rasa sedih dengan pelbagai dugaan yang dilaluinya.

Selain Amyza, KES26 turut disertai sembilan lagi selebriti lain iaitu Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Datuk Jalaludin Hassan, Zila Bakarin, Mubarak Majid, Rashdan Baba, Fazlina Ahmad Daud, Kathy Azian dan Maria Tunku Sabri. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok