Chris Brown diarah bayar bekas pembantu rumah RM55 juta

PENYANYI R&B, Chris Brown diperintahkan membayar ganti rugi sebanyak AS$13 juta (kira-kira RM55 juta) kepada bekas pembantu rumahnya, Maria Avila, selepas wanita itu diserang anjing peliharaannya pada 2020.

Juri mendapati Brown, 37, cuai apabila anjing baka Caucasian Shepherd miliknya menyerang Avila sehingga menyebabkan kecederaan parah dan kecacatan kekal pada wajah serta lengan wanita itu.

Insiden berlaku di kediaman penyanyi itu di Tarzana, California ketika mangsa sedang membuang sampah dan ketika perbicaraan, Brown mengakui menemui Avila dalam keadaan berlumuran darah, namun meninggalkan lokasi sebelum pasukan perubatan tiba atas nasihat pengurusnya.

Brown turut mendakwa mangsa telah diberi amaran mengenai sifat agresif anjing peliharaannya, malah peguam keluarga mangsa menyifatkan keputusan mahkamah sebagai satu bentuk keadilan selepas lebih lima tahun menunggu.

Kes terbabit menambah siri isu perundangan yang membelenggu selebriti sensasi itu selepas dia turut berdepan tuduhan menyerang seorang penerbit muzik pada 2025. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok