SATU jam 41 minit yang mengerikan. Itu yang terlintas dalam kepala penulis usai menonton naskhah terbaharu arahan Charles Gozali iaitu Badut Gendong.
Jika sebelum ini kita sering disajikan dengan filem seram Indonesia yang selalunya sudah boleh dijangka jalan ceritanya, Badut Gendong hadir dengan ‘hidangan’ berbeza.
Kebanyakan naskhah seram lebih menumpukan kepada kisah gangguan makhluk halus atau ritual mistik namun filem ini tampil dengan pendekatan berbeza apabila mengangkat kisah kelahiran seorang antagonis yang dibentuk oleh penderitaan hidup, kehilangan dan dendam yang tidak berkesudahan.

Sebahagian daripada Qodrat Universe, filem ini bukan sekadar memperkenalkan watak baharu, malah membuka lembaran penting mengenai asal-usul salah satu karakter yang bakal memainkan peranan besar dalam dunia sinematik tersebut.
Formula yang digunakan Charles dalam filem ini berbeza, penonton mungkin menjangkakan kemunculan makhluk menyeramkan atau babak ‘jump scare’ bertalu-talu, sebaliknya ketakutan menyelusup secara perlahan daripada perubahan psikologi seorang manusia hilang pertimbangan akibat dendam.
Dendam Darsi
Mengisahkan Darso lakonan hebat Marthino Lio, seorang penghibur jalanan yang mencari rezeki dengan mengenakan kostum badut gendong bersama isterinya, Darsi (Dayinta Melira). Paling membahagiakan Darso apabila mengetahui isteri tercinta hamil anak pertama mereka.
Namun, kebahagiaan itu diragut sekelip mata apabila Darsi dan anak dalam kandungan meninggal dunia dalam satu insiden mereka dirompak. Bagi memulakan kehidupan baharu, dia kembali ke kampung halaman bersama jenazah Darsi yang digendong.
Namun kepulangan tersebut menemukan Darso dengan pelbagai penindasan, perebutan tanah, penyalahgunaan kuasa dan amalan ilmu hitam.
Di sinilah titik permulaan penonton mula melihat Darso yang lembut tutur kata perlahan-lahan menjadi individu menakutkan disebabkan roh Darsi yang ‘tersekat’ dalam patung tersebut.
Puncanya, dia nekad mengambil kulit muka Darsi dan dijahit pada patung digendongnya, barangkali enggan berpisah dengan isteri tercinta.
Apa sahaja yang berlaku pada Darso seperti dihina dan ditindas orang kampung, Darsi akan membalasnya dengan cara paling kejam serta mengerikan.
Menariknya, setiap tragedi ngeri yang berlaku terhadap penduduk kampung adalah hasil pembalasan dendam oleh roh Darsi dan berlaku ketika Darso ‘ditidurkan’. Sedar-sedar, tangannya berlumuran darah.

Siat kulit, penuh darah
Salah satu aspek yang penulis harus puji ialah filem ini berjaya menggabungkan elemen drama, seram psikologi, aksi dan gore tanpa kelihatan bercelaru.
Jalan ceritanya mudah difahami, semuanya hanya disebabkan dendam.
Jika menyentuh mengenai elemen seram, penulis tidak begitu merasainya sebaliknya lebih kepada menutup mata setiap kali muncul babak berdarah. Macam menonton filem ‘Saw’!
Jadi, Badut Gendong bukan filem untuk mereka yang mudah berasa geli atau tidak selesa melihat adegan ganas.
Tidak banyak babak yang bergantung kepada teknik ‘jump scare’ murahan atau muzik seram yang sering digunakan dalam filem-filem hantu Indonesia.
Dari sudut lakonan, Marthino cemerlang menjayakan watak Darso. Tidak mudah untuk berjalan dengan menutup mata dan dalam masa sama menggendong boneka pada badannya.
Bagi penulis, naskhah ini menanam ideologi bahawa kejahatan boleh terbentuk apabila seseorang dibiarkan menderita tanpa pembelaan yang bukan sahaja memusnahkan orang lain tetapi juga diri sendiri.
Secara keseluruhannya, Badut Gendong merupakan antara filem seram Indonesia yang berjaya menawarkan pengalaman berbeza. Jika kalian mahukan lebih daripada sekadar babak ‘jump scare’, Badut Gendong pilihan tepat.
