Kalau nampak gerai durian, saya terus tutup mata – Hussain

PESERTA Big Stage Rocketfuel Hussain terpaksa ‘berpuasa’ daripada menikmati buah kegemarannya, durian bagi memastikan vokalnya berada dalam keadaan terbaik sepanjang program berlangsung.

Menurut Hussain, perkara tersebut adalah disebabkan enggan mengulangi kesilapan yang pernah dilakukan ketika menyertai program Talk To My Manager musim kedua (TTMM2) dua minggu lalu sehingga menjejaskan persembahannya.

“Ketika TTTM2 dulu, bapa saya, Jamilul Hayat memang melarang saya makan durian sebab binbang mengganggu vokal. Jadi, lapan ke sepuluh minggu saya memang puasa durian tetapi ‘langgar’ juga pada konsert final yang akhirnya makan diri sendiri.

“Rasa sedih tak makan buah paling saya suka terutama sekarang memang musim dia tetapi nak buat macam mana.

“Beberapa hari sebelum final saya makan. Pada awalnya nak makan sedikit tetapi sedar-sedar sudah dua biji, terus hilang suara,” katanya kepada Kosmo! Online.

Ujarnya, dia akan berusaha menahan nafsu termasuk mengelak daripada singgah ke gerai menjual durian.

“Selepas ini kena ‘puasa’ durian semula iaitu selama lapan minggu. Sayangnya, musim durian akan berlalu tambahan pula harga pula tengah murah ketika ini.

“Sekarang ini, kalau nampak gerai durian, saya terus tutup mata, pandang tempat lain sebab nak kawal nafsu,” katanya lagi.

Berkongsi mengenai berjaya meraih undian tertinggi sehingga melayakkannnya bertanding di pentas Big Stage, Hussain menyahut cabaran tersebut selain menjadikan sokongan yang diterima sebagai pembakar semangat untuk memberikan persembahan terbaik.

“Alhamdulillah ramai yang mengundi dan perkara itu membuatkan saya lagi bertambah semangat.

“Bila tengok ramai yang mengundi sebab rindu nak lihat saya menyanyi, memang terharu kerana masih ada orang ingat saya.

“Saya akan cuba untuk kuatkan mental untuk lapan minggu lagi. Insya-Allah, kalau boleh nak berjaya ke final,” ujarnya.

Semalam, minggu pertama program Big Stage Rocketfuel, Hussain diumumkan sebagai peserta kesebelas dan bakal berentap merebut gelaran juara bersama 10 lagi peserta. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok