MESKIPUN program Gegar Vaganza musim ke-11 (GV11) sudah lama berlalu, penyanyi Zehra Zambri meluahkan rasa terkilan apabila pembabitannya dalam pertandingan tersebut dicemari dengan pelbagai kecaman.
Menurut Zehra, 38, segelintir pihak terutama yang mengecamnya tidak mengetahui keperitan yang dihadapi demi meneruskan minat dalam dunia seni.
“Bila hasrat saya sertai GV11 dulu, macam-macam kutukan dan celaan. Siap perlekeh ingat kita ini baru nak bertatih belajar menyanyi.
“Mereka tak tahu perjalanan apa yang aku dah lalui untuk jadi anak seni,” katanya dalam Threads.
Malah, pelantun lagu Semalakama itu menyifatkan situasi kini jauh berbeza dengan zaman pembabitannya yang menuntut bakat serta usaha keras sebelum layak digelar penyanyi.
“Lainlah sekarang, tak perlu susah payah. Ada pengikut, kau viral, ada duit buat satu single.
“Semudahnya kau gelarkan diri kau penyanyi,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, Zehra mengimbau memori zaman kanak-kanaknya yang aktif menyertai pertandingan nyanyian di samping mendapat sokongan daripada keluarga.
“Seronok masa kanak-kanak dulu diisi semua dengan aktiviti seni.
“Minat yang mendalam dengan sokongan keluarga,” ujarnya.
Menerusi hantaran tersebut, Zehra turut memuat naik sekeping foto yang memaparkan keratan akhbar tentang kejayaannya dalam pertandingan bakat Kawan Kawan Alam Ria anjuran TV3 sewaktu berusia 12 tahun. – HIBGLAM
