MELAKONKAN babak dalam sel terakhir penjara sebenar, pelakon June Lojong mengakui sering meremang sepanjang penggambaran filem Polong.
Ujar June atau nama sebenarnya Junainah M. Lojong, 47, suasana Penjara Lama Johor Bahru atau dikenali sebagai Kota Jail yang menjadi lokasi penggambaran begitu mencengkam emosi, apatah lagi melibatkan sel terakhir tempat banduan menunggu hukuman.
“Meremang itu memang kerap berlaku. Lokasi penggambaran di Kota Jail, kami masuk ke sel terakhir, memang betul-betul sel terakhir.
“Babak dalam penjara, terutama babak menangis itu dirakam dalam sel sebenar. Walaupun penjara itu sudah ditinggalkan, aura tetap kuat dan membuatkan saya rasa seram,” katanya kepada HibGlam.
Tambah isteri kepada aktor Nam Ron itu, meskipun beberapa babak seperti hukuman gantung hanya menggunakan set rekaan, suasana keseluruhan lokasi tetap memberi impak emosi luar biasa.
Babak gantung sebenarnya dibuat menggunakan set di bangunan sebelah, tetapi bila berada di kawasan penjara asal, rasa meremang itu tetap ada.
“Tempat itu memang meninggalkan perasaan tidak selesa, tetapi dalam masa sama memberi pengalaman berbeza sebagai pelakon,” ujarnya pada sidang media tayangan filem Polong, di sini, malam tadi.
Dalam pada itu, June turut berkongsi detik menyentuh hati apabila melihat sendiri tulisan banduan masih kekal di dinding sel berkenaan, sekali gus menimbulkan rasa insaf.
Rasa seram sejuk datang bersama keinsafan. Bila nampak tulisan seperti ‘Mak tunggu aku balik’ atau ‘Aku tak nak buat lagi’, hati terus tersentuh.
“Kita boleh bayangkan kehidupan mereka di dalam sel itu. Ia buat saya lebih menghargai kehidupan di luar,” jelasnya.
Memegang watak Maria Hadi, Pelakon Wanita Harapan Festival Filem Malaysia ke-29 (FFM29) itu mengakui karakter tersebut sedikit sebanyak terbawa-bawa ke luar set, namun dia sentiasa berusaha mengawal emosi.
Ada juga perasaan terbawa-bawa, seolah-olah ada sesuatu memerhati. Tapi saya cepat sedar dan kawal diri, ingatkan diri ini cuma lakonan.
“Balik rumah, saya cuba lepaskan semua rasa itu. Takut juga kalau dibiarkan berlarutan,” luahnya.
Filem seram diinspirasikan daripada kisah benar itu bakal menemui penonton di pawagam bermula 28 Mei ini.
Diarahkan Zulkarnain Azhar dan diterbitkan Golden Star Pictures Sdn. Bhd., Polong turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Mimi Lana, Fad Anuar, Namron, Amir Nafis dan Nadiya Nisaa. – HIBGLAM
