‘Saya perlukan RM15,000’ – Zul Yahya angkut keluarga tidur di kedai

MELALUI fasa sukar, bekas pelakon Zul Yahya terpaksa membawa keluarga tidur di kedai buat sementara waktu berikutan keadaan bisnesnya yang tidak stabil.

Zul atau nama sebenarnya, Zulkifli Yahya, 53, berkata dia berharap agar masalah kewangan yang dihadapinya dapat diselesaikan dengan segera bagi membolehkan mereka kembali ke rumah.

“Saya dan keluarga, kami lapan beranak tidur di kedai sementara nak selesaikan masalah kami ini.

“Mungkin seminggu lagi. Doakan urusan kami sekeluarga dipermudahkan,” katanya dalam satu sesi siaran langsung di TikTok.

Difahamkan, mereka sekeluarga termasuk isteri serta anak-anaknya terpaksa tinggal di premis tersebut akibat bayaran bil yang tertunggak.

Menerusi perkongsian sama, pelakon drama Penderitaan itu turut menunjukkan keadaan ruang dalam kedai yang dijadikan tempat tidur mereka.

Daripada paparan video ditunjukkan, mereka anak beranak menggunakan kain toto yang dihampar di atas lantai sebagai alas tidur.

Pada masa sama, Zul meminta bantuan orang ramai bagi meringankan beban ditanggung dengan memuat naik tangkap layar imbasan kod QR akaun bank miliknya.

Zul yang mengakui memerlukan wang sebanyak RM15,000 tidak ketinggalan mengucapkan terima kasih kepada pihak yang sudi menghulurkan sumbangan.

“Saya berterima kasih kepada anda semua yang transfer. Terima kasih. Subhanallah, saya doakan semoga Allah permudahkan urusan kehidupan kalian dunia akhirat dan dikurniakan kesihatan baik.

“Saya perlukan RM15,000 dalam masa terdekat, pening kepala. Tak tahulah kalau kalian berada di tempat saya ini. Saya blurr, sebab itu saya buat benda ni (minta bantuan),” ujarnya.

Kesulitan hidup ditanggungnya turut meraih simpati seorang pemilik akaun TikTok yang menularkan kisahnya sekali gus menarik perhatian ramai.

Terdahulu, Zul berpindah ke Ipoh, Perak mengusahakan restoran steambot sebelum bertukar konsep masakan kampung, Zul Yahya Recipe

Tidak hanya itu, aktor terbabit juga dilihat kerap ‘turun padang’ bagi menyertai pelbagai karnival jualan makanan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok