AKTIF menyebarkan aura positif di platform Threads, pelakon dan pelawak Saiful Apek mengakui setiap perkongsiannya adalah bertujuan membantu individu yang bergelut dengan pelbagai krisis kehidupan.
Apek atau nama sebenarnya Muhammad Saiful Azam Mohamed Yusoff, 57, meluahkan rasa bimbang apabila melihat kecenderungan segelintir individu menyatakan hasrat melakukan tindakan drastik akibat tekanan perasaan.
“Saya tengok banyak masalah kritikal, bunuh diri atau putus asa. Ada yang sampai kata nak lari daripada rumah dan nak terjun bangunan.
Ada yang cakap mereka sudah penat. Saya cakap, kalau sudah penat sebenarnya bukan kau yang penat, jantung kau yang penat.
“Saya tak tahu, kadang-kadang mungkin terlalu berat benda itu. Tapi saya risau juga dengan kata-kata saya sebab ada masanya terlalu berat dan mengejutkan,” katanya ketika ditemui pada sidang media Nasyid Friday di Ruang, Shah Alam, di sini, baru-baru ini.
Anggota kumpulan Senario itu tidak menyangka bait-bait ayat yang dikongsi mampu memberi impak sangat mendalam kepada netizen.
“Saya terkesan sangat di Threads bila kadang-kadang satu ayat saja saya bagi, memberi kesan kepada ramai orang.
Malah, ada yang beritahu dulu hubungan dengan ibunya sangat renggang, tetapi selepas baca satu ayat saya, dia sudah berbaik dengan ibu sendiri.
“Kadang-kadang bergenang air mata, sampai macam itu sekali rupanya. Jadi, sebab itu saya rasa ramai yang memerlukan senjata (kata-kata) ini,” katanya lagi.
Pada masa sama, Apek berharap perkongsiannya menjadi pemangkin semangat buat mereka yang sedang jatuh supaya mengambil langkah kecil untuk bangkit memandangkan dia sendiri pernah melalui fasa paling gelap dalam hidup.
“Saya nak benda itu jadi satu tamparan supaya orang jelas dan mula ambil ‘baby step’ untuk bangkit balik. Anda kena ingat, Saiful Apek bukan jadi dalam satu hari.
“Tak ada orang tiba-tiba tengok saya terus berada di atas. Apa yang saya nampak dekat mereka adalah diri saya satu ketika dulu.
Saya pernah jadi gelandangan, makan sisa orang, dihina, diherdik dan difitnah. Semua itu saya sudah lalui, jadi sekarang orang nampak hasilnya macam mana,” kongsinya.
Sejak kebelakangan ini, Apek dilihat sangat konsisten menggunakan Threads sebagai medium utama untuk berkomunikasi secara dekat dengan peminat
Malah, dia turut menjadi ‘kaunselor’ dalam Threads menerusi pesanan-pesanan membina kepada netizen. – HIBGLAM
