RATU pop dunia, Madonna sekali lagi mencuri perhatian di karpet merah Met Gala 2026 dengan penampilan yang sarat elemen dramatik dan artistik.
Penghibur legenda itu melangkah menaiki tangga ikonik Muzium Seni Metropolitan New York dengan busana rekaan Saint Laurent sentuhan pengarah kreatifnya, Anthony Vaccarello.
Madonna menggayakan topi unik berbentuk kapal sambil diiringi enam pembantu, menjadikan penampilannya antara yang paling menonjol pada malam itu.
Aksi barisan pengiring yang memegang kain berupa layar sepanjang berarak masuk ke venue juga membuatkan tumpuan ramai terarah kepadanya.
Tema Met Gala tahun ini, Fashion is Art, diilhamkan daripada pameran baharu Costume Institute bertajuk Costume Art yang berlangsung di acara tersebut.
Pameran itu menyentuh hubungan erat antara tubuh manusia, fesyen dan seni melalui hampir 400 koleksi yang dipertontonkan.
Menariknya, setiap rekaan dipamerkan pada patung dengan kepala keluli berkilat hasil sentuhan artis Samar Hejazi itubmembolehkan pengunjung melihat refleksi diri mereka bersama karya fesyen itu.
Terdahulu, Madonna kembali ke Met Gala tahun lalu selepas sekian lama tidak kelihatan berada di majlis mengumpulkan dana tersebut.
Ketika itu, beliau memilih gaya lebih klasik dengan sut tuksedo rona krim dan putih rekaan Tom Ford sempena tema Superfine: Tailoring Black Style.
Kali ini, penghibur berusia 67 tahun itu jelas membuktikan statusnya sebagai ikon fesyen yang berani bereksperimentasi sekali gus sentiasa mencetuskan sensasi di pentas global.
Terdahulu, pada acara sama tahun 2016, busana digayakannya mencetuskan kontroversi selain dianggap sebagai fesyen terburuk sepanjang tempoh acara itu diadakan.- HIBGLAM
