PENDAKWAH bebas terkenal, Ustaz Muhammad Haris atau lebih dikenali sebagai PU Riz tampil memberikan penjelasan berhubung pandangannya terhadap sebuah program yang berlangsung di sekitar Bukit Bintang, baru-baru ini.
PU Riz berkata, sebarang program atau acara yang mempunyai unsur kemaksiatan tidak boleh dipandang ringan, malah wajib dicegah tanpa bertangguh, selaras dengan tuntutan agama.
“Sebagai umat Islam, kita diajar bahawa sesiapa yang melihat kemungkaran, maka wajib baginya untuk mengubah dengan tangannya. Jika tidak mampu, maka dengan lisan, dan jika tidak mampu juga, maka dengan hati dan itulah selemah-lemah iman,” katanya.
PU Riz menjelaskan bahawa prinsip tersebut menjadi asas utama mengapa setiap individu perlu memainkan peranan dalam mencegah perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam, khususnya apabila berlaku secara terbuka dalam masyarakat.
Dalam masa sama, PU Riz turut menegaskan bahawa perbuatan maksiat yang dilakukan secara terang-terangan adalah lebih dibenci oleh Allah SWT berbanding yang dilakukan secara tersembunyi.
Rasulullah SAW menyebut bahawa semua umatnya akan diampunkan kecuali mereka yang melakukan dosa secara terang-terangan. Justeru, kita perlu ada sifat malu dan tidak berbangga dengan perbuatan maksiat,” jelasnya lagi.
PU Riz turut mengingatkan agar masyarakat tidak menggadaikan kepentingan akhirat semata-mata demi keuntungan duniawi, terutama dalam penganjuran program yang boleh mengundang kemungkaran.
“Janganlah kerana keuntungan dunia, kita sanggup mengorbankan perkara yang melibatkan akhirat. Keseimbangan itu penting,” katanya.
Mengakhiri kenyataannya, PU Riz menekankan bahawa sebuah negara yang aman dan makmur adalah negara yang menjauhi maksiat serta memberi tumpuan kepada kehidupan yang lebih sejahtera dan diberkati.
“Negara yang baik adalah negara yang menjaga nilai dan menjauhkan kemungkaran. Dari situlah datangnya keberkatan dalam kehidupan,” ujarnya. – HIBGLAM
