Bukan mahakarya, Libang Libu ada roh tersendiri

FILEM Libang Libu arahan Bobby Husaini, sebuah naskhah komedi yang segar dan penuh warna. 

Mula ditayangkan sejak 23 April lalu, Libang Libu mengangkat kisah sebuah produksi filem yang datang ke sebuah kampung di Perak untuk penggambaran. Premis asasnya ringkas, namun berkesan, satu pasukan produksi yang agak ‘asing’ atau bandar bertemu dengan realiti kehidupan kampung yang penuh warna tempatan.

Dari awal lagi, filem ini berjaya mencipta suasana kelam-kabut yang sesuai dengan tajuk Libang Libu, istilah dialek Perak yang bermaksud tak tentu hala atau serabut fikiran. 

Lakonan

Penggambaran yang sepatutnya lancar terus bertukar menjadi huru-hara apabila bertembung dengan budaya, adat dan personaliti penduduk kampung.

Kekuatan utama filem berkenaan adalah barisan pelakon yang padu. Amerul Affendi, Beto Kusyairy, Nabila Huda dan Ozlynn Waty bersama ramai pelakon sokongan lain memberikan persembahan yang hidup dan alami. 

Lakonan mereka bukan sekadar melucukan, malah ada lapisan emosi yang dekat dengan penonton.

Amerul Affendi antara karakter yang begitu menonjol dalam Libang Libu.

Lelucon dalam Libang Libu bersifat santai tapi tajam. Lawak slapstik bercampur dengan satira halus tentang pertembungan budaya antara kru filem bandar dengan masyarakat kampung. Ada sindiran ringan tentang industri perfileman, isu perpaduan dan hubungan kekeluargaan yang disampaikan tanpa paksa.

Awal cerita, naratif ceritanya agak longgar kerana terlalu ramai watak hendak diperkenalkan. Segelintir penonton mungkin ada berasakan pengenalan watak agak berterabur,  pening nak fokus. Namun, segalanya mula tersusun dan konflik adik-beradik serta isu keluarga menjadi lebih fokus.

Aspek visual dan ‘colour grading’ naskhah berkenaan nampak cantik dan sesuai dengan suasana kampung Perak yang hijau serta cerah. Sinematografi berjaya menangkap keindahan lokasi sebenar tanpa terlalu dramatik, memberikan rasa autentik kepada penonton.

Salah satu perkara ketara, bagaimana naskhah berkenaan menggabungkan elemen komedi dengan momen emosional yang menyentuh. Bukan semua lawak kasar, ada bahagian membuat penonton tersenyum sambil terasa hati, terutama berkaitan hubungan kekeluargaan dan identiti.

Plot ‘twist’ yang menarik dan tidak mudah dijangka. Walaupun bukan filem misteri, kejutan-kejutan kecil di pertengahan dan penghujung filem berjaya mengekalkan keterujaan penonton hingga tamat.

Antara perkara yang menjanjikan kemenjadian Libang Libu sebagai sebuah filem adalah terjemahan karakter para pelakon terlibat. 

Realiti masyarakat 

Moralnya, Libang Libu sangat dekat dengan realiti masyarakat Malaysia. Isu perpaduan, pertembungan antara generasi lama dan baharu serta cara orang kampung menyelesaikan masalah dengan cara mereka sendiri digambarkan dengan baik tanpa terasa seperti ceramah.

Kelemahan yang ketara mungkin  fokus cerita kadang-kadang hilang arah. Ada bahagian seperti terlalu banyak subplot sehingga teks terasa agak kabur. 

Apa pun, Bobby Husaini sebagai pengarah berjaya menjadikan filem ini cukup segar, tidak cuba terlalu serius atau terlalu bergimik. 

Lakonan Beto dan Amerul khususnya menjadi tarikan utama. Kimia antara mereka serta dengan pelakon lain menjadikan banyak adegan kelakar secara natural tanpa dipaksa.

Filem ini sesuai ditonton bersama keluarga atau kawan-kawan. Banyak elemen yang boleh dikongsi ketawa bersama, terutama adegan melibatkan penduduk kampung berinteraksi dengan kru filem.

Dasarnya, Libang Libu berjaya menjadi komedi komersial yang menghiburkan tanpa mengorbankan mesej tentang perpaduan dan kehidupan seharian. 

Biarpun ada kekurangan dari segi fokus plot, hiburan yang diberikan cukup untuk menebusnya. Penonton yang datang ke pawagam dengan harapan lawak berterusan dan cerita ringkas akan keluar dengan senyuman. Filem ini mengingatkan kita bahawa kadang-kadang, hidup memang perlu ‘libang libu’ untuk jadi lebih menarik.

Pada akhirnya, Libang Libu satu tambahan yang positif kepada filem komedi Malaysia tahun 2026. Bukan mahakarya, tapi  berjaya menghiburkan dan memberikan nilai hiburan yang tinggi.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok