TIDAK mengendahkan tohmahan ramai, usahawan sensasi Datuk Seri Vida mahu terus membantu pelakon Azar Azmi yang disifatkan sebagai wanita lurus bendul.
Vida, 54, berkata, dia simpati dengan nasib Azar yang tidak mempunyai sumber pendapatan ketika ini selain perlu menyara dua anaknya.
Sebenarnya saya ada deria keenam. Sebelum dia tular, saya ada tertengok drama Azar dalam TikTo sebelum cari pengurusnya. Deria itu sudah panggil beberapa hari untuk saya ‘live’ bersama dia.
“Bila tengok Azar, saya tertanya mengapa dia dapat murah rezeki selepas dibebaskan daripada tahanan reman. Kemudian baru saya sedar selepas duduk dengan dia selama empat hari tiga malam.
“Rupa-rupanya dia seorang yang lurus bendul, ikut saja dan dia selalu bersangka baik serta tak pernah fikir buruk,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Dalam pada itu, dia mengakui mempunyai persamaan dengan pelakon tersebut termasuk salah memiliki pasangan hidup sehingga membuat hidup berantakan.
“Tidaklah begitu sama hidup kami cuma kesedihan dan salah pilih lelaki.
Saya pun salah pilih lelaki juga, bapa Cik B tetapi reda dan kemanisannya ialah Cik B menjadi anak mama yang hebat.
“Jadi, benda-benda salah pilih lelaki dan tidak fikir banyak itu letak tepi dan kita bangkit,” katanya lagi.
Dalam masa sama, dia memuji bintang drama Nur 2 itu kerana memiliki bakat dalam berniaga sehingga tidak teragak-agak menghadiahkan telefon bimbit kepada Azar baru-baru ini.
“Selepas empar hari bersama Azar, saya dapati dia berbakat dalam berniaga dan itu bagus.
Jadi saya bawa dia beli telefon untuk mulakan tugas baru. Kalau tak berlakon dan tak dibayar pun, dia boleh buat ‘live’, konten supaya dapat ramai pengikut serta berniaga.
“Semoga rezeki Azar masuk banyak nanti. Asas (kejayaan) itu daripada saya sebab beri telefon,” ujarnya.
Terdahulu, nama Azar itu menjadi bualan selepas dia dan suaminya, Mohd. Apri Hazreen Mohd. Sapri, 41, direman serta didakwa di mahkamah atas kes dakwaan penipuan duit.
Begitupun, Azar dibebaskan dan akan dijadikan sebagai saksi pendakwaan bagi kedua-dua kes.
Namun, namanya terus meledak selepas muncul dalam sirang langsung bersama Datuk Aliff Syukri yang memberi derma secara tunai berjumlah RM40,000 kepadanya. – HIBGLAM
