DIKECAM dan dipertikai kelayakan berkongsi pentas bersama Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, penyanyi Irene Catalina memilih untuk kekal tenang tanpa melayan kata-kata negatif.
Ujar Irene atau nama sebenarnya Sri Zan Safar, 47, dia ada membaca komen netizen mempersoalkan identitinya, malah ada mendakwa dia cuba menumpang populariti penyanyi tersohor tersebut.
“Saya ada terbaca komen netizen bertanya siapa saya dan mempertikai kenapa saya membuat persembahan di acara itu. Tidak mengapa, saya pilih untuk kekal tenang dan fokus pada perkara lebih positif.
“Bukan sahaja komen terbuka, saya juga terima mesej peribadi. Ada tanya siapa saya dan kata saya menumpang populariti Datuk Seri Siti Nurhaliza kerana kami berada di pentas sama.
“Tak mengapa, saya harap mereka boleh buka hati untuk menerima saya dan menghargai usaha saya berkongsi bakat,” katanya kepada HibGlam.
Tambah pelantun lagu Ajari Aku itu, peluang berkongsi pentas di The Music Run by AFFIN bersama nama besar menjadi pembakar semangat untuk terus melangkah dalam industri seni.
“Saya percaya setiap rezeki datang daripada Allah. Saya rasa bertuah dapat berdiri sepentas dengan artis hebat terutama Tok Ti.
“Pengalaman ini beri saya semangat untuk terus melangkah dan memperbaiki diri,” ujarnya.
Pada acara yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, Irene mempersembahkan tiga lagu iaitu Golden, Mahu Apa Lagi dan Tabola Bale.
Mengakui berdepan rasa gementar, Irene tetap memberikan persembahan terbaik demi menghargai peluang besar tersebut.
“Sejujurnya saya memang gementar sebelum naik pentas, tetapi saya cuba lakukan yang terbaik.
“Dulu ketika bersama kumpulan Angels, saya pernah buat persembahan besar. Namun selepas melancarkan lagu Mahu Apa Lagi, ini kali pertama saya kembali ke pentas besar seperti ini,” luahnya.
Dalam perkembangan lain, Irene kini sedang sibuk menyiapkan material segar dan terbaharu untuk peminat selain jadual padat dengan undangan persembahan korporat.
Terdahulu, penampilannya dalam acara tersebut mencetuskan pelbagai reaksi, khususnya daripada segelintir individu kurang mengenali dirinya.
Malah, kehadirannya menjadi bualan apabila berkongsi pentas bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza, sekali gus membuka ruang kepada pelbagai persepsi netizen. – HIBGLAM.
