Bekas kaca hilang, Sharifah Zarina tawar hati upah pembantu

PENYANYI Sharifah Zarina meluahkan rasa terkejut selepas mendapati barangan kaca miliknya hilang sejurus selesai majlis rumah terbuka baru-baru ini.

Zarina atau nama sebenarnya Sharifah Zarina Wan Hassan, 44, berkata, dia mengupah dua pembantu rumah sambilan bagi membantu kerja pembersihan sepanjang majlis berlangsung.

“Hari itu saya buat rumah terbuka. Saya upah dua pembantu, memang mereka biasa datang cuci rumah.

“Keesokan hari, saya perasan satu bekas kaca untuk hidang makanan hilang. Saya cari di semua tempat tetapi memang tidak jumpa,” katanya dalam Threads.

Menurut pelantun lagu Langit Ke-7 itu, kehilangan barangan tersebut bukan isu utama, sebaliknya perasaan kurang selesa memikirkan kemungkinan berdepan jawapan tidak jujur.

“Saya syak mungkin bekas itu pecah sebab tinggal bekas sudu sahaja. Takkan pula mereka ambil.

“Tapi sampai sekarang saya fikir macam mana hendak tanya sebab kalau tanya, mesti jawab tak tahu,” ujarnya.

Tambahnya, dia mengakui sebelum ini berpuas hati dengan hasil kerja pembantu berkenaan, namun insiden tersebut menimbulkan rasa ragu.

“Saya suka cara mereka cuci rumah, cekap dan bersih. Tetapi sekarang hati sudah tidak seronok hendak upah lagi.

“Bukan sebab barang itu semata-mata, tetapi saya tidak sanggup berdepan jawapan tidak jujur.

“Lepas ini mesti timbul rasa sangsi. Benda kecil pun boleh disorok, apatah lagi perkara lain,” luahnya.

Menjengah ruangan komen, rata-rata netizen bersimpati selain menasihatinya agar lebih berhati-hati memilih pembantu pada masa akan datang.

Namun, ada juga segelintir berpendapat kemungkinan barangan tersebut pecah tanpa disengajakan dan pembantu berkenaan mungkin takut untuk mengaku kesilapan. – HIBGLAM.

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok