‘Fitnah! Dia reka cerita kami akan kahwin’

PELAKON Zara Zya bertindak membuat laporan polis dan memberi tempoh 24 jam kepada seorang individu untuk membuat permohonan maaf secara terbuka apabila didakwa menggunakan nama dan wajahnya bagi tujuan menipu orang ramai.

Menurut Zara atau nama penuhnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin, 40, dia kecewa apabila individu itu menggukan wajahnya bagi memperdaya dan menipu mangsa untuk mendapatkan wang secara mudah.

“Lelaki ini menyamar sebagai diri saya dengan menghubungi mangsa secara bertulis dan bercetak menerusi WhatsApp untuk menipu serta memanipulasi orang ramai bagi mendapatkan wang.

Dia juga menyakinkan mangsa dengan mengatakan ada projek usahasama antara Zara dengan syarikat penerbangan Malaysia Airlines,” katanya dalan Instagram hari ini.

Lebih membuatkan dirinya berang, indvidu berkenaan turut menabur cerita palsu dengan mendakwa mereka akan mendirikan rumah tangga tidak lama lagi.

Tegas Zara, dia hanya mengenali individu berkenaan atas urusan perniagaan dan pernah bertemu untuk jual beli daging kambing perap sebelum ini.

Dia juga mereka cerita kami ada hubungan dan akan berkahwin tidak lama lagi. Segala kenyataan tersebut adalah tidak benar dan fitnah semata-mata!

“Saya tidak mengenali dia akan tetapi dia pernah datang beberapa kali ke gerai saya di bazar Ramadan lalu untuk membeli kambing perap dalam kuantiti yang banyak bagi tujuan infaq,” ujarnya.

Dalam masa sama, dia mengakui berada malu dan kecewa apabila dimaklumkan mengenai hal tersebut oleh pengurusnya.

Justeru, bagi membersihkan namanya, dia sudah membuat laporan polis berhubung perkara tersebut dan tindakan undang-undang akan diambil sekiranya tiada sebarang permohonan maaf dilakukan.

“Dia sudah pun dihubungi pihak polis untuk hadir ke balai bagi membantu siasatan. Namun, sehingga ke hari ini dia tidak memunculkan diri dengan pelbagai alasan.

Saya telah pun merujuk perkara ini kepada pihak peguam dan jika lelaki ini gagal membuat kenyataan maaf secara terbuka, tindakan saman fitnah akan diambil bagi membersihkan nama saya.

“Saya beri tempoh 24 jam untuk dia tampil membuat permohonan maaf secara terbuka dan sekiranya gagal tindakan mahkamah akan dikenakan,” jelasnya.

Menerusiperkongsian sama, Zara turut memuat naik foto perbualan lelaki tersebut yang menyamar sebagai dirinya dalam aplikasi WhatsApp. – HIBGLAM

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok