‘Ramai lelaki ‘green flag’, sedia berkorban demi cinta’

PERNAH terjebak cinta toksik, pelakon Meerqeen mengakui hanya mengikut telunjuk kekasih sehingga sanggup membiarkan kepala dipijak dek terlalu sayang.

Begitupun, Meerqeen atau nama sebenarnya Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam, 24, nekad menoktahkan hubungan selepas menyedari gadis itu tidak mungkin berubah.

“Saya percaya ada lelaki yang sabar serta sanggup menerima layanan buruk daripada orang tercinta kerana terlalu sayang selain yakin si dia akan berubah.

Dahulu saya pernah situasi itu termasuk diherdik tapi saya tak marah biarpun kepala dihenyak.

“Cuma kesabaran saya ada hadnya. Itu cerita dulu, saya cuma nak maklumkan masih ramai lelaki ‘green flag’ yang sedia terima apa sahaja demi cinta,” katanya ketika ditemui pada sesi memperkenalkan barisan pelakon Thariq Ridzuwan Commando’s: His treasure.

Menerusi drama bersiri 16 episod adaptasi novel itu Meerqeen membawakan watak anggota tindakan khas, Thariq Ridzuwan juga suami kepada Husniya Radwa lakonan Qasrina Karim.

Dalam naskhah arahan Eyra Rahman itu, Thariq digambarkan sebagai suami yang tidak pernah meninggikan suara apatah lagi melawan segala tindakan kasar isterinya.

Menurut Meerqeen, populariti novel yang tular apabila peminat tegar karya tersebut mempunyai calon lain untuk dijadikan teraju utama memberi cabaran tersendiri buatnya.

Katanya, apabila dipilih produksi bersandarkan beberapa kriteria tertentu, dia cuba memegang amanah diberi dengan sebaik mungkin bahkan sudah sedia masuk set bermula 10 April ini.

“Saya difahamkan kerja penggambaran mengambil masa sekitar dua bulan dan ikutkan memang saya sudah dalami watak serta sisi Thariq yang sangat tenang.

Jika pembaca mempunyai nama lain sebagai calon karakter ini, saya anggap permintaan mereka itu sebagai cabaran untuk berikan 100 peratus hasilnya.

“Saya sengaja tidak membaca keseluruhan novel kerana ingin terjemahkan peribadi Thariq bersandarkan olahan skrip. Malah bekerja dengan Eyra juga antara ‘wish list’ saya,” katanya.

Drama aksi dan cinta terbitan yang bakal disiarkan di Astro Ria pada Julai depan turut membariskan Noli K-Clique, Afiq Hamidon, Avertts Gomes, Mia Sara Shauki, Jay Iskandar dan Azri Safix. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok