‘Imane bijak, dia tahu mana satu mak dia’

TINDAKAN pelakon Datin Intan Najuwa menggunakan khidmat pengasuh dan jururawat peribadi untuk menjaga anaknya, Imane Lunara mengundang rasa kurang senang segelintir netizen kerana bimbang menjejaskan hubungan pada masa akan datang.

Tidak berdiam diri, Intan, 28, berkata, Imane merupakan bayi yang bijak dan tahu membezakan dijaga ibunya atau pengasuh.

Alhamdulillah anak saya bijak, dia tahu mana satu mak dia,” katanya membalas komen netizen.

Tambah Intan lagi, dia tidak pernah berenggang dengan anaknya dan tetap melaksanakan tanggungjawab seorang ibu walaupun mempunyai ramai pembantu.

Saya bersama Imane hampir 24 jam. Saya korbankan karier dan tak bekerja untuk duduk di rumah serta beri kasih sayang sepenuhnya untuk dia.

“Kalau kami tak rapat juga, saya masukkan dia dalam perut balik,” ujarnya.

Intan memberikan respons sedemikian selepas wujud segelintir netizen meluahkan kebimbangan Imane diuruskan pembantu dan jururawat peribadi.

Mesti bayi itu keliru mana satu mak dia,” komen netizen.

Terdahulu, Intan telah memuat naik sebuah video dirinya bersama tiga pembantunya serta seorang jururawat yang menjaga anak kesayangannya ketika berada di sebuah hotel.

Terdahulu, Intan bergelar isteri kepada Datuk Ahmad Asraf Azman pada Ogos 2023 dan dikurniakan anak perempuan, Imane pada 15 Disember lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok